55, 000 KANAK-KANAK 12 TAHUN MASIH TAK MOHON MYKAD


 
PUTRAJAYA:  Sehingga 19 Jun tahun ini, seramai 55,537 kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas masih belum memohon kad pengenalan (MyKad) kali pertama, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
 
Beliau berkata antara penyumbang kepada masalah ini ialah sikap ibu bapa sendiri yang tidak mengambil berat, selain faktor ekonomi, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
 
"Secara keseluruhan, Sabah mencatat jumlah tertinggi kanak-kanak yang tidak mempunyai MyKad iaitu 8,259 disebabkan banyak kawasan pedalaman.
 
"Jadi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengerakkan program MY12 untuk mewujudkan kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya mempunyai MyKad," katanya pada sidang akhbar selepas berbuka puasa bersama warga JPN hari ini.
 
Ahmad Zahid berkata menerusi program itu, sesi penerangan dengan kerjasama sekolah, pendaftaran di lapangan melalui khidmat Mobile JPN 1Malaysia dan Unit Mobile Kad Pengenalan, akan dilaksana.
 
Beliau berkata selain itu, JPN akan menjalankan program MY18 yang disasar kepada permohonan penukaran kad pengenalan apabila mencapai umur 18 tahun hingga genap 25 tahun.
 
Menerusi program itu, JPN akan memastikan rekod data pengenalan diri setiap individu dikemas kini secara berterusan dan membantu mereka berurusan menggunakan kad pengenalan berkenaan.
 
"Ia akan dijalankan melalui sesi taklimat dan dialog di sekolah, institusi pengajian tinggi dan kilang," katanya.-BERNAMA

Comments