NEGERI LAIN PATUT IKUT KEDAH WARTAKAN FATWA ANTI SYIAH : TUN DR MAHATHIR

ALOR SETAR:  Negeri-negeri yang masih belum mewartakan fatwa antiSyiah, patut berbuat demikian dengan mengambil kira bahawa fahaman itu hanya akan membawa kesan negatif dan memecah belahkan ummah, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata setiap kerajaan negeri patut mengkaji serta mempertimbangkan perkara itu dan mencontohi Kedah yang telah mengumumkan akan mewartakan fatwa antiSyiah baru-baru ini.

"Apa yang kita tahu, ada Syiah berlaku permusuhan, peperangan dan pembunuhan. Kita bernasib baik sebab di negara kita ini Ahli Sunnah Wal Jamaah, pengikut Imam Shafie," katanya kepada pemberita ketika berkunjung ke Pekan Rabu di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata ajaran Syiah tidak elok dibawa ke negara ini kerana ia merupakan fahaman yang memecah belahkan Islam.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang akan mewartakan fatwa antiSyiah di Kedah bagi membanteras fahaman itu yang didapati semakin menular di kalangan masyarakat. Fatwa itu telah pun diwarta di peringkat kebangsaan.

Mukhriz dilaporkan berkata walaupun penularan fahaman Syiah di Kedah masih dalam keadaan terkawal, ia tidak bererti negeri ini bebas daripada fahaman itu.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata cadangan menggabungkan parti yang didominasi kaum Cina iaitu MCA, Gerakan dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan menguntungkan sekiranya mereka terus menyokong Barisan Nasional (BN).

"Kalau boleh bersatu baguslah sikit, kalau sokong BN untunglah... nak kata Cina tak boleh sokong Melayu, tidaklah. Kalau Cina dan Melayu tak boleh bersatu, rosaklah negara," katanya.-BERNAMA

Comments