KONFLIK MESIR BUKTI PERUBAHAN BUKAN JAMINAN RAKYAT : PM

LONDON 5 Julai - Rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar daripada konflik di Mesir apabila perubahan yang ingin dituntut tidak semestinya menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perubahan yang tidak diurus dengan baik boleh membawa kepada penderitaan rakyat seperti kenaikan harga barangan, peningkatan pengangguran dan industri pelancongan menjadi lumpuh.

"Akhirnya, ia membawa kepada rakyat sendiri yang menuntut kepada perubahan sekali lagi yang mana perubahan itu tidak memenuhi kehendak dan apa yang diharapkan oleh kita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai konflik terbaru di Mesir yang menyaksikan penggulingan Presiden Mohamed Morsi, pemimpin yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat Mesir pada 30 Jun 2012 bagi menggantikan Hosni Mubarak.

Najib menjelaskan, apa yang penting bagi Mesir adalah untuk mencari penyelesaian secara aman selain memastikan proses pilihan raya diadakan di masa terdekat, dengan dijalankan secara adil dan inklusif.

Tegasnya, peristiwa yang berlaku itu adalah soal dalaman Mesir, "walaupun kita tidak sokong tindakan ketenteraan, tetapi ia sudah terjadi."
 
"Diharap kerajaan baharu dapat diwujudkan, yang mencerminkan hasrat dan aspirasi rakyat Mesir, yang dapat menjaminkan kestabilan jangka panjang negara itu," katanya.

Mengenai tindakan rakyat di beberapa negara termasuk Malaysia yang enggan menerima keputusan pilihan raya umum yang dilaksanakan secara demokrasi dan pemimpin dipilih secara sah melalui proses demokrasi, beliau berkata apa yang penting ketidakpuasan hati perlu disuarakan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Negara.

"Inilah yang akan menjamin apa juga yang kita lakukan itu berdasarkan kepada undang-undang dan perlembagaan negara kita," katanya.

Najib bakal berlepas pulang ke tanah air setelah berada di London sejak Isnin lepas. Foto : AFP

Sumber: Rakyat news dot com

Comments