HENTI KHABAR ANGIN GELOMBANG KEDUA PENGGANAS : KPN


 
KOTA BHARU:  Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta orang ramai agar menghentikan penyebaran khabar angin kononnya akan berlaku gelombang kedua kemasukan pengganas Kiram ke Sabah.
 
Beliau berkata khabar angin yang tidak berasas itu, tidak seharusnya  disebarkan ketika umat Islam bakal menyambut Aidilfitri.
 
"Apabila berita-berita sebegini disebarkan, ia menggusarkan masyarakat terutama di Sabah. Musim raya (Aidilfitri) dah nak sampai, jadi kenapa nak buat orang susah, menakutkan orang ramai, perkara tu tak benar sebenarnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini hari ini.
 
Beliau melawat anggota polis trafik Insp Farid Hasni Mamat, 33, yang putus kaki kanan akibat kemalangan di Kuala Besut, Terengganu, Rabu lalu.
 
Hadir sama Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.
 
Khalid berkata pihaknya bersama beberapa agensi keselamatan lain mempunyai cukup kekuatan untuk menangani sebarang kemungkinan pencerobohan dari luar.
 
"Marilah kalau mereka berani. Kita akan tahu kalau ada cubaan pihak musuh untuk masuk ke negara ini. Kita cukup kekuatan.. kita ada polis, tentera.. ada di laut, udara dan darat. Jadi janganlah risau.
 
"Penubuhan Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) untuk memastikan keadaan pantai Timur Sabah terjamin," katanya. -BERNAMA

Comments

Popular Posts