SURUHANJAYA DIRAJA MULA SIASAT ISU PENDATANG TANPA IZIN SABAH

KOTA KINABALU, 14 Jan –  Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah pendatang tanpa izin di Sabah memulakan pendengaran awam di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini, Isnin.

Lima anggota panel diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.

Anggota panel itu juga terdiri daripada bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Professor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas timbalan ketua menteri dan bekas peguam besar Sabah Tan Sri Herman J.Luping.

Shim membacakan terma-terma rujukan siasatan bagi menyiasat antara lain jumlah pendatang di Sabah yang telah mendapat kad pengenalan biru atau kewarganegaraan, sama ada pengeluaran kad pengenalan atau kewarganegaraan di Sabah adalah selaras mengikut undang-undang, sama ada pendatang yang memiliki kad pengenalan biru atau resit pengenalan sementara (biru) kewarganegaraan secara tidak mengikut undang-undang didaftarkan sebagai pengundi, dan sebab-sebab peningkatan jumlah penduduk Sabah.

Manoj Kurup, Datuk Azmi Ariffin dan Jamil Aripin dari Jabatan Peguam Negara dilantik sebagai pegawai pengendali yang akan membantu suruhanjaya menyoal saksi-saksi. Dalam kenyataan pembukaannya, Manoj berkata pegawai-pegawai pengendali akan mengemukakan keterangan dari perspektif sejarah daripada saksi-saksi yang mempunyai kepakaran dalam sejarah dan antropologi.

Beliau berkata saksi-saksi daripada pelbagai jabatan kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Pilihan Raya, Jabatan Perangkaan dan Pejabat Ketua Menteri Sabah akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Manoj berkata bekas tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 juga akan dipanggil berhubung perkara-perkara berkaitan dengan pengeluaran dokumen pengenalan.

Beliau berkata keterangan juga akan dikumpulkan daripada individu-individu dari beberapa negara seperti Filipina, India, Pakistan dan Indonesia, yang memiliki pelbagai dokumen yang digunakan untuk pengenalan seperti 1MM-13, permit masuk, kad pengenalan hijau dan biru.

Pemastautin tetap dan malah warganegara juga akan disoal mengenai bagaimana mereka boleh memiliki dokumen pengenalan atau bagaimana mereka memperoleh status sekarang, katanya, sambil menambah bahawa keterangan yang dikumpulkan ahli-ahli politik dan pengarang juga akan dicari.

Mengenai implikasi sosial hasil pengeluaran kad pengenalan atau kewarganegaraan kepada pendatang, beliau berkata pegawai-pegawai pengendali juga merancang untuk memanggil saksi-saksi daripada pelbagai agensi seperti polis, Jabatan Penjara, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pelajaran.

Sumber: Media UMNO

Comments

Popular Posts