SOROTAN SIASATAN RCI

Lewat 2 hari naru pu3 berpeluang nak ikuti sorotan siasatan RCI. Insyallah bermula hari ini. Pu3 akan kongsikan info berkaitan dengannya.

Lebih 446,000 pendatang tanpa izin di Sabah diusir sejak 1990

KOTA KINABALU 15 Jan. - Seorang saksi hari ini memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di Sabah bahawa 446,173 pelarian dan pendatang tanpa izin telah diusir ke negara masing-masing sejak tahun 1990 sehingga sekarang.

Pengarah Pasukan Petugas Khas Persekutuan Sabah dan Labuan, Datuk Suhaimi Mohd. Salleh berkata, pelarian dan pendatang tanpa izin yang tidak mempunyai sebarang dokumen pula akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi proses pengusiran ke negara masing-masing antaranya Filipina.

Semasa diminta menjelaskan bagaimana beliau mendapat jumlah itu oleh bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong yang mempengerusikan suruhanjaya itu, Suhaimi berkata, pihaknya mempunyai rekod itu.

Saksi kelima itu yang mula berkhidmat di Pasukan Petugas Khas itu pada 15 Januari tahun lepas memberitahu suruhanjaya bahawa pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan pada 4 April 1989 itu juga berfungsi untuk mengurus, menangani semua masalah pendatang asing di negeri Sabah.

Semasa ditanya pegawai pengendali, Manoj Kurup, Suhaimi juga berkata, pasukan itu ditubuhkan Kerajaan Persekutuan bagi membantu Unit Penempatan di bawah Jabatan Ketua Menteri (JKM) untuk menguruskan pendatang asing ke negeri itu yang semakin bertambah.

Suhaimi juga berkata, hasil bancian pada 2007 di 32 unit penempatan pelarian terdapat 59,000 pelarian Filipina manakala sehingga 2010 pula mencatatkan 38,000 pelarian Filipina hasil bancian di 16 buah unit penempatan.

Saksi keempat, Mokhtar Yassin Ajam yang bertugas sebagai setiausaha dalam negeri bahagian hal ehwal dan penyelidikan di JKM memberitahu suruhanjaya bahawa semakan yang dibuat antara 2007 hingga 2010 menunjukkan 33,019 pelarian Filipina berada di negeri ini dan daripada jumlah itu 15,000 adalah kanak-kanak.

Beliau yang bertugas di JKM sejak Oktober 2005 itu berkata, kanak-kanak itu merupakan generasi ketiga dan keempat pelarian Filipina yang datang ke negeri ini pada awal 1970.

Mokhtar berkata, kesemua pelarian itu adalah mereka yang tercicir semasa proses pendaftaran pas pengenalan sementara IMM-13 yang dilaksanakan pada 1976 hingga 1984.

Beliau berkata, disebabkan ibu bapa tiada pengenalan diri, anak-anak mereka tidak boleh mendapat akses kepada sistem pendidikan kerajaan kerana tidak mempunyai sijil kelahiran.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan persekutuan bersama organisasi bukan kerajaan (NGO) telah menubuhkan sekolah-sekolah khas bagi kanak-kanak itu mendapatkan asas pendidikan.

Sementara itu, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Mohd. Salleh menafikan wujudnya apa yang dipanggil "Projek IC" semasa beliau menjadi ketua menteri dari tahun 1976 hingga 1985.

''Saya tidak pernah dengar mengenai "Projek IC". Sepanjang pengetahuan saya, tidak ada perkara seumpama "Projek IC",'' kata Harris sambil menambah jika agensi persekutuan mengeluarkan kad pengenalan, ia mungkin dalam keadaan tergesa-gesa memandangkan ia perlu menangani permohonan dalam jumlah yang besar.

Bagaimanapun, Harris berkata, walaupun kad pengenalan dikeluarkan dengan pantas, ia dibuat mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Semasa ditanya Manoj supaya membacakan laporannya yang dikemukakan kepada RCI hari ini, Harris berkata, antara dasar yang diterima pakai kerajaan Persekutuan adalah memberikan taraf kewarganegaraan kepada pelarian selaras dengan piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu.

''Perkara ini diumumkan Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj pada awal 1970-an. Tunku mengumumkan bahawa pelarian orang Islam boleh tinggal di Malaysia dan bukan Islam (kebanyakannya orang Vietnam) dalam mana-mana kes memilih sama ada untuk pergi ke Australia, Eropah atau Amerika," katanya sambil menambah bahawa dasar itu masih berkuat kuasa pada masa ini.

Pendengaran bersambung esok. - BERNAMA

Comments

Popular Posts