Followers

UMNO TIDAK BOLEH ADA 'GUNTING DALAM LIPATAN' : ALI RUSTAK

MELAKA:  UMNO akan menjadi sebuah parti yang lemah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 sekiranya tidak memecat anggota parti yang bersekongkol dengan pembangkang dalam menandatangani 'Deklarasi Mahathir', baru-baru ini.

Anggota Dewan Negara, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata dalam keadaan politik sekarang, UMNO tidak boleh mempunyai 'gunting dalam lipatan' yang boleh memecah belahkan parti dari dalam dan perlu segera melakukan 'pemutihan parti' bagi memastikan UMNO terus kukuh.

"Anggota (UMNO) yang bersekongkol dengan pembangang terutama DAP sudah tentu akan mengelirukan anggota parti (UMNO) yang lain seterusnya akan menjejaskan jentera UMNO dan parti secara keseluruhannya pada PRU Ke-14 nanti.

"Saya tegaskan di sini UMNO hanya perlukan anggota parti yang benar-benar setia. Kita mahu jelas sama ada sokong UMNO atau tidak, tidak boleh sokong UMNO tetapi tidak sokong pemimpin parti, sokong UMNO secara keseluruhannya," katanya pada sidang media, di sini malam tadi.

Terdahulu, Mohd Ali, yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, merasmikan Mesyuarat Agong Berkelompok Cawangan UMNO Dewan Undangan Negeri Bukit Baru di Bukit Katil di sini.

Beliau mengulas tindakan bekas mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lepas mengetuai kumpulan lebih 50 orang termasuk Lim Kit Siang daripada DAP memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri.

Deklarasi itu turut ditandatangani bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Mohd Ali berkata sebagai anggota UMNO yang menjaga amanah orang Melayu di negara ini beliau tidak dapat menerima tindakan anggota UMNO yang sanggup bersekongkol dengan DAP yang jelas mempunyai agenda negatif terhadap orang Melayu.

"Saya hormati beliau (Dr Mahathir) dan tidak mengkritik beliau tetapi saya tidak boleh terima apabila beliau sanggup bekerjasama dengan DAP, walau apapun alasannya matlamat tidak menghalalkan cara," katanya.

Justeru, Mohd Ali, yang juga bekas ketua menteri Melaka, berkata anggota UMNO dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya perlu menilai sebaiknya apa yang berlaku dalam senario politik negara sekarang.-BERNAMA

No comments:

Post a Comment