HUBUNHAN MALAYSIA-ARAB SAUDI BERADA PADA TAHAP TERTINGGI: NAJIB RAZAK

RIYADH:  Raja Arab Saudi Salman Abdulaziz Al-Saud berpendapat hubungan Malaysia dan negaranya kini berada pada tahap tertinggi dan akan terus diperkukuh pada masa hadapan.

Pengiktirafan ini dinyatakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadap baginda di kediaman diraja itu di sini pada Rabu.

"Apa yang dinyatakan baginda kepada saya ialah baginda amat berpuas hati dengan tahap hubungan antara kedua-dua negara kini," Najib berkata demikian pada sidang akhbar Rabu malam selepas menamatkan lawatan kerja di Arab Saudi yang bermula pada 29 Feb.

Beliau memaklumkan bahawa Raja Salman juga kagum terhadap pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara, sesuatu yang dipandang tinggi oleh Arab Saudi.

BACA: Sokongan kerabat diraja Arab Saudi kepada Malaysia tidak akan dilupa - Najib

BACA: Malaysia teroka peluang baharu di Arab Saudi - Najib

Najib berkata bagi pihak Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, beliau menyampaikan jemputan kepada Raja Arab Saudi itu untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.

Memberitahu lebih lanjut mengenai majlis menghadap itu, perdana menteri berkata beliau merasa terharu melihat kehadiran sejumlah besar anggota kerabat diraja, menteri kabinet dan pegawai tinggi tentera Arab Saudi ketika majlis santapan tengah hari sempena acara tersebut.

Beliau menganggap suasana itu sebagai melambangkan tahap kepentingan yang diberikan Arab Saudi kepada hubungan antara Riyadh dan Kuala Lumpur.

Najib berkata beliau berharap hubungan istimewa antara kedua-dua negara akan diterjemah kepada aspek yang boleh memanfaatkan lagi rakyat Malaysia.

Semasa majlis menghadap itu, beliau telah menzahirkan penghargaan Malaysia  atas layanan dan bantuan yang dihulurkan Arab Saudi kepada jemaah haji dan umrah Malaysia.

Beliau berkata Malaysia mendapat pertimbangan sangat baik berhubung perkara-perkara tersebut.

Perdana menteri berkata hubungan antara kedua-dua negara berkembang sehingga menggambarkan keprihatinan semasa dalam bentuk ancaman keselamatan yang dihasilkan kumpulan militan Daesh, bukan sahaja kepada Arab Saudi tetapi juga Malaysia dan rantau Asia Tenggara serta selainnya.

"Saya sependapat dengan Raja Salman bagaimana Daesh telah berupaya menarik kepada perjuangannya dalam kalangan rakyat Malaysia di Malaysia dan rakyat Malaysia yang telah menyertai kumpulan ini di Syria dan Iraq," kata beliau.

Najib turut menyebut bahawa Arab Saudi merupakan tanah yang dipenuhi peluang dengan ramai rakyat Malaysia telah memperoleh pekerjaan di dalam negara ini.

"Ramai golongan profesional kita telah memperoleh pekerjaan berpendapatan  tinggi dan ini secara umum akan memanfaatkan Malaysia," katanya.

Dari segi ekonomi, perdana menteri berkata beliau gembira syarikat Malaysia iaitu Prasarana memenangi kontrak tahun lepas bagi pengoperasian dan penyeliaan sistem Metro Arafah-Mina.

"Kita kini sedang memfokus kepada usaha untuk menjadi operator lapangan terbang antarabangsa Jeddah yang baharu," kata beliau dan menambah Malaysia mendapat pengiktirafan baik sebagai pengendali lapangan terbang dalam bentuk  Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

 Najib berkata MAHB mengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen di Turki selain banyak lapangan terbang di Malaysia sendiri.- BERNAMA

Comments

Popular Posts