PM MALAYSIA DIPILIH MELALUI PERUNDANGAN DAN DEMOKRASI: AHMAD ZAHID

JASIN:  Perdana menteri Malaysia dipilih melalui sistem perundangan dan demokrasi, justeru kaedah lain menentukan naik atau turunnya perdana menteri adalah tidak sah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kaedah lain itu tidak mengikuti tata etika sebagaimana termaktub dalam perlembagaan dan perundangan negara.

"Undang-undang harus dipatuhi dan sistem demokrasi yang sama kita dakapi harus terus hormati. Jika seseorang itu pernah memerintah, tentu orang itu tidak mahu keadaan ini berlaku jika (semasa) beliau memerintah.

"Jangan melakukan sesuatu di luar tata etika ... tetapi saya tidak merujuk kepada mana-mana tokoh tertentu hanya tafsiran terbuka supaya kita menghormati perundangan dan perlembagaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai di sini yang turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron .

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama-sama beberapa pemimpin pembangkang hari ini mengadakan sidang akhbar kempen anti-Najib.-BERNAMA

Comments

Popular Posts