Followers

MCA PERLU SOKONGAN MASYARAKAT CINA UNTUK MAIN PERANAN LEBIH BERKESAN: LIOW

KUALA LUMPUR:  Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa masyarakat Cina untuk memberi sokongan penuh kepada parti itu untuk membolehkan MCA memberi khidmat lebih baik kepada masyarakat.

Beliau berkata sokongan padu daripada masyarakat Cina kepada MCA akan membolehkan parti memainkan peranan lebih berkesan dalam menyumbang kepada masyarakat melalui banyak cara.

"Untuk MCA mempunyai suara yang kuat dan kehadiran dalam kerajaan Persekutuan dan negeri, kita memerlukan sokongan masyarakat.

"Majoriti kaum Cina perlu membuang sikap "mahu kuda berlari pantas tetapi tidak sanggup untuk memberi makan dengan cukup," katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-67 parti di Wisma MCA di sini, pada Sabtu.

Kira-kira 2,400 ahli MCA, termasuk pemimpin veteran dan pemimpin persatuan Cina menghadiri sambutan itu bertemakan "Merealisasikan Kesederhanaan, Membina Pragmatisme".

Beliau juga berjanji bahawa MCA akan terus menyokong dan memajukan komuniti dalam membangunkan negara.

"Walaupun menghadapi cabaran pada tahun-tahun kebelakangan ini, saya berdiri di hadapan anda semua hari ini untuk menegaskan komitmen MCA menjaga kebajikan masyarakat Cina.

"Kita tidak akan menggugurkan, ataupun meninggalkan perjuangan ini," kata beliau.

Liow juga memberi jaminan bahawa matlamat teras MCA tidak akan berubah termasuk memelihara identiti sekolah jenis kebangsaan Cina, meneruskan warisan pluralisme, menegakkan kebebasan beragama serta memastikan peluang yang sama rata serta hak asasi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.

Beliau berkata meskipun menghadapi keadaan ekonomi dan politik semasa, dan juga proses kebangkitan semula parti berikutan pencapaian buruk dalam pilihan raya umum yang lepas, MCA akan terus bergerak ke hadapan.

"Kita harus membuktikan kemampuan kita, bukan sahaja dalam bidang politik tetapi juga melalui pembaharuan ekonomi, serta inisiatif budaya dan pendidikan. 

"Justeru, adalah penting untuk kekal fleksibel dalam strategi kita, selagi kita tidak melupakan matlamat jangka panjang kita," kata Liow.

Beliau menambah bahawa sebagai ahli parti yang memerintah, MCA tidak mahu melihat masyarakat Cina dipinggirkan atau hilang arah di persimpangan.

"Kita perlu bersatu untuk menghadapi suasana politik semasa tanpa perasaan berbelah bahagi. Kita akan terus memacu inisiatif dengan matlamat ke arah membangunkan negara, dan untuk melaksanakan program-program bermanfaat yang menyumbang kepada kebajikan masyarakat.

Sementara itu, Liow, yang juga Menteri Pengangkutan berkata parti itu akan terus memupuk hubungan lebih erat dengan persatuan-persatuan Cina dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat Cina.

"MCA dan persatuan-persatuan Cina akan menjadi lebih teguh bersama untuk membentuk satu kuasa bagi memperjuangkan kesederhanaan, dan memastikan negara terus mengekalkan pluralisme dan memelihara perpaduan kaum, kestabilan negara dan pembangunan untuk masa depan yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata kerjasama itu juga membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama bagi memanfaatkan peluang perniagaan luas yang ditawarkan oleh Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) dan inisiatif ekonomi "Satu Jajaran, Satu Laluan" yang diterajui oleh China.

Selepas sambutan itu, Liow menghadiri taklimat tertutup selama empat jam dengan perwakilan pusat mengenai sistem undian terus yang dicadangkan. 

Ketika ditemui pemberita kemudian, beliau berkata cadangan itu diterima baik oleh perwakilan, sambil menambah beliau akan menjelajah ke seluruh negara dalam tempoh dua bulan akan datang untuk menjelaskan kepada pemimpin akar umbi mengenai mekanisme baharu itu.

Mekanisme baharu itu apabila dilaksanakan membolehkan kira-kira 32,000 perwakilan dari peringkat bahagian untuk mengundi terus bagi presiden parti kepada ahli jawatankuasa pusat, berbanding sistem sekarang apabila hanya 2,365 perwakilan pusat dibenarkan mengundi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment