NAJIB BAKAL LANCAR PELAN PERTUMBUHAN STRATEGIK NEGERI JOHOR

JOHOR BAHRU:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melancarkan Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor sempena lawatan kerja rasminya ke negeri ini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan, akan melancarkan pelan itu serta  Rancangan Pembangunan Komprehensif Ke-2 Iskandar Malaysia (CDPii) 3/8 pada majlis pelancaran di Stadium Educity, Iskandar Puteri dekat sini.

Pelan pertumbuhan itu merangkumi visi strategik dan komprehensif pembangunan di Johor bagi membangunkan setiap daerah di negeri itu mengikut sektor tertentu untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Johor CDPii pula lebih menumpukan kepada aspek pengurusan sosial dan alam sekitar serta prospek pembangunan yang ditawarkan di Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia.

Sebelum majlis pelancaran itu, Najib dijangka menghadiri perasmian projek pembangunan hartanah Forest City di Gelang Patah, yang akan dirasmikan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Projek hartanah itu bakal mewujudkan lebih 220,000 pekerjaan kepada penduduk tempatan menjelang 2035, menerusi penglibatan dalam lapan sektor pertumbuhan industri termasuk bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan pelancongan.

Projek yang bercirikan konsep mesra alam itu, akan dibina di atas empat pulau buatan manusia berkeluasan lebih 1,400 hektar.

Ia merupakan antara projek pembangunan hartanah terbesar di Asia dari segi  jumlah unit hartanah yang akan dibangunkan, dan akan dibangunkan dalam sembilan fasa bagi tempoh 20 tahun.

Sebelum mengakhiri lawatan kerja sehari ke negeri ini, Najib kemudiannya akan merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor di Galleria, Johor Bahru.

UTC itu merupakan yang kelapan dirasmikan oleh Perdana Menteri selepas merasmikan dua pusat yang sama di Kuala Lumpur, dan masing-masing satu di Melaka, Perak, Pahang, Kedah dan Sabah itu. - BERNAMA

Comments

Popular Posts