TUN MAHATHIR 'DESPERATE' MAHU KACAU PENTADBIRAN NEGARA: MAS ERMIEYATI

KUALA LUMPUR:  Tindakan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi tulang belakang Deklarasi Rakyat disifatkan langkah terdesak dan mementingkan diri sendiri.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kerjasama Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Lim Kit Siang itu tidak bertanggungjawab dan tidak melihat kesan yang mendalam terhadap pentadbiran negara.

"Jujur, kami terkesan dengan tindakan ini. Tindakan bekas pemimpin tertinggi UMNO yang pada kami seumpama membakar lagi api perselisihan yang kini tidak surut dalam kalangan ahli UMNO. Tun M 'desperate' mahu kacau pentadbiran negara.

"Lebih mengecewakan, apabila tindakan ini dijalankan bersama sama dengan pimpinan parti pembangkang yang kita sedia tahu tujuan mereka cumalah satu, meranapkan kepimpinan sedia ada agar mereka dapat berkuasa.

"Janggal tatkala melihat yang dahulunya disanjung, yang seharusnya memberi pengajaran terbaik kepada orang muda dalam parti, mengambil langkah drastik bersama musuh musuh politik. Dan terlalu asing buat kami melihat mereka yang dulunya menentang, kini menjulang," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Mas Ermieyati mengulas tindakan Dr Mahathir yang menandatangani deklarasi bersama dengan bekas pemimpin kanan negara, pemimpin pembangkang, aktivis politik dan ketua badan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat.

Deklarasi yang dinamakan 'Citizen's Declaration' atau 'Deklarasi Rakyat' itu ditandatangani bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletak jawatan.

Jelas Mas Ermieyati, setiap pemimpin memerlukan perubahan dan pengorbanan namun bukan menggadaikan prinsip.

"Ini masa kita memperlihatkan semangat juang. Sebagai sayap yang paling bongsu, kami mewakili suara orang muda ingin melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan gangguan demi gangguan terhadap pentadbiran Najib.

"Sepatutnya tumpuan diberikan terhadap pemulihan sosio ekonomi rakyat di saat kegawatan ekonomi yang sedang melanda dunia.

"Kami melahirkan rasa bimbang dan khuatir dalam melihat pertelingkahan yang tidak berkesudahan ini bakal merugikan negara dan rakyat tanpa pemenang sebenar bak kata pepatah 'Menang jadi arang kalah jadi abu'"," katanya.

Mas Ermieyati juga yakin dan percaya kepada proses demokrasi yang tidak pernah tertangguh selain menegaskan sampai masa ketikanya, mandat akan dikembalikan kepada rakyat untuk memilih.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts