KES GURU PIJAK PELAJAR: KELUARGA, SEKOLAH PERLU SELESAIKAN SECARA HARMONI: MAHADZIR

PADANG TERAP:  Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta pihak sekolah dan keluarga menyelesaikan secara 'harmoni' berhubung kes seorang pelajar tahun enam didakwa dipukul oleh seorang guru kerana mengubah suai basikalnya pada Rabu lalu.

Menurutnya, tidak semua kes terus dibawa kepada kementerian dan sepatutnya ia dapat diselesaikan diperingkat sekolah, pelajar, ibu-bapa dan guru berkenaan supaya ia tidak terus berlarutan.

Jelasnya, kementerian juga perlu menguruskan 10,191 buah sekolah di mana seramai 420,000 guru mengajar kepada 5 juta orang pelajar di negara ini.

Beliau berkata buat masa ini, guru berkenaan diberi peluang untuk menyelesaikan bersama pelajar dan ibu-bapa terlibat dan kementerian belum mengambil sebarang tindakan terhadap guru tersebut.

Bagaimanapun, katanya kementerian tetap memandang serius isu memukul pelajar atau murid dan siasatan tetap akan dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan kementerian.

Jika terbukti bersalah, barulah kementerian dapat mengambil tindakan tegas untuk mengelak kejadian yang sama berulang dan membimbangkan banyak pihak.

"Selesaikan secara harmoni, itu cara yang terbaik. Maknanya keluarga datang jumpa guru, guru besar, kemudian selesaikan kes ini," katanya selepas merasmikan Telaga Tiup Air Bawah Tanah di Sekolah Menengah Agama Al-Siddiqiah Padang Kerasak, Naka, Kuala Nerang.

Projek kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta Ahli Palimen Padang Terap itu menelan kos kira-kira RM80,000 dan mampu menyalurkan air bersih sebanyak 2,000 gelen sejam dan menampung kira-kira 600 pelajar. - ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts