1MDB SELAR WSJ KERANA 'MENGULANG DAKWAAN TANPA BUKTI'

KUALA LUMPUR:  1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini menyelar Wall Street Journal kerana mengulangi 'dakwaan yang tidak terbukti'.

Ia memberi respons terhadap artikel WSJ yang mendakwa bahawa lebih daripada AS$1 bilion telah dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan 'sebahagian besarnya' datang dari 1MDB.

Dalam satu kenyataan di sini, 1MDB berkata ia sentiasa menegaskan bahawa ia tidak pernah memasukkan apa-apa dana ke dalam akaun Perdana Menteri.

"Ini dijelaskan juga oleh pelbagai pihak berkuasa yang sah, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Peguam Negara Malaysia, serta beberapa penerbitan antarabangsa yang terkenal yang mengesahkan bahawa dana-dana itu datang dari Arab Saudi.

"Namun, Wall Street Journal terus mengulangi dakwaan sama yang tidak dibuktikan," kata 1MDB.

Kenyataan itu berkata WSJ tidakpun mengemukakan bukti konklusif bagi menyokong dakwaannya tetapi terus menyerang dengan maklumat yang ia dakwa telah didapatkan daripada sumber tidak dinyatakan nama atau tidak dikenali.

Bergantung pada sumber tidak dikenali, yang mungkin wujud atau tidak, menunjukkan 'ceteknya standard kewartawanan asas' WSJ dan penerbitan itu langsung tidak mempunyai 'gaya pemberitaan yang seimbang', kata 1MDB.-BERNAMA

Comments

Popular Posts