Followers

MURID TERMAKAN KACA DALAM MI GORENG RMT MASIH DIRAWAT : P.KAMALANATHAN

BELURAN:  Tiga orang murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Nigel Gardner, Hulu Selangor yang termakan serpihan kaca dalam mi goreng yang disediakan di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata dua murid berkenaan telah menjalani ujian skop dan seorang lagi masih menerima rawatan kerana masih mengalami sakit perut.

"Saya setiap hari memantau perkembangan kejadian ini yang sepatutnya tidak berlaku terutama membabitkan RMT yang dilaksanakan di bawah program kerajaan membantu murid sekolah," katanya.

Bercakap kepada pemberita semasa melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balaban Jaya dekat sini hari ini, beliau berkata alasan diberi membabitkan kecuaian aspek keselamatan di sekolah tidak boleh diterima.

Jumaat lepas, tujuh orang murid dari SJKT Ladang Nigel Gardner dimasukkan ke hospital selepas termakan serpihan kaca dalam makanan mi yang disediakan di bawah Program RMT.

Kamalanathan berkata beliau sudah meminta Jabatan Pendidikan Selangor (JPS) untuk memberhentikan perkhidmatan pengusaha kantin terbabit serta merta dan diambil alih pengusaha kantin sementara untuk meneruskan pemberian makanan kepada murid.

Menurutnya Kementerian Pendidikan tidak teragak-agak mengambil tindakan yang serius bagi memastikan kejadian itu tidak berulang.

"Bila kejadian ini berlaku saya kecewa dan marah. Biarpun ia kes terpencil tetapi tak seharusnya berlaku.

"Saya akan tunggu siap laporan daripada JPS dan tindakan akan diambil kepada pengusaha kantin terlibat akan mencerminkan betapa seriusnya Kementerian Pendidikan terhadap situasi begini supaya tidak berulang di mana-mana sekolah di negara kita," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pelajar tidak seharusnya diberhentikan sekolah sementara, hanya kerana belum memiliki kad pengenalan.

Kamalanathan berkata jika ibu bapa pelajar berkenaan atau seorang daripadanya merupakan warganegara Malaysia dan memiliki kad pengenalan, pelajar itu layak untuk bersekolah.

Beliau berkata memberhentikan atau menyekat pelajar ke sekolah hanya kerana belum memiliki kad pengenalan adalah tidak wajar sebaliknya perlu diuruskan mengikut prosedur oleh ibu bapa, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah.

"Ibu bapa juga tidak seharusnya mengambil ringan berkenaan urusan dokumentasi anak mereka dan wajar melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan demi masa depan mereka.

"Peranan guru-guru dan pihak Pejabat Pendidikan Daerah Beluran juga amat penting bagi memastikan golongan seumpama ini tidak tercicir daripada mendapat pendidikan sepatutnya," katanya bagi mengulas masalah seorang pelajar Tingkatan Satu, SMK Balaban Jaya yang diberhentikan sekolah sementara sejak tahun lepas kerana belum memiliki MyKad.

Beliau mengingatkan bahawa tanggungjawab anak-anak selaku murid dan pelajar ialah belajar,  hadir ke sekolah mendapatkan pendidikan bermula di peringkat awal dan diteruskan sehingga mencapai kejayaan agar tidak tergolong dalam kelompok tercicir. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment