DEKLARASI RAKYAT: PERCATURAN SILAP TUN MAHATHIR UNTYK UBAH SISTEM DEMOKRASI NEGARA : ANNUAR MUSA

KUALA LUMPUR:  'Deklarasi Mahathir' tidak akan ke mana kerana ia merupakan percaturan silap pihak terbabit untuk mengubah sistem demokrasi negara ini yang didukung oleh rakyat, kataKetua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata mereka yang terbabit dalam deklarasi itu sedar dan tahu bahawa sistem demokrasi di negara ini adalah berlandaskan kepada pilihan raya dan perlembagaan.

"Mungkin ada rakyat seronok sertai deklarasi itu, tandatangan, tetapi mereka faham itu bukan kaedahnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu mengadakan lawatan ke Wisma Bernama dan memberikan taklimat berkaitan isu politik semasa.

Hadir bagi pihak Bernama ialah Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab, ketiga-tiga Timbalan Ketua Pengarang Datuk Mokhtar Hussain, Mikhail Raj Abdullah dan Ahmad Zukiman Zain, pengarang dan pegawai kanan.

Pada Jumaat lepas, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 50 orang termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR, memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Deklarasi itu turut ditandatangani bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.
"Deklarasi itu nama sahaja daripada rakyat tetapi datangnya daripada pemimpin-pemimpin yang bergaduh dan bukannya semua wakil rakyat pun.

"Ini sentimen menghasut datangnya daripada orang yang kecewa (selepas) perjuangan peribadinya gagal," katanya.

Ditanya mengenai kesan deklarasi itu kepada UMNO, Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata UMNO bersikap positif dalam mengendalikan setiap masalah yang berlaku, dan cabaran itu pastinya menjadikan UMNO lebih kuat.

"Tiada satu parti politik dalam dunia ini yang tidak menghadapi cabaran, isu, dan sebagainya. Setiap cabaran itu proses untuk menguji ketahanan dan antibodi politik kita. Lagi banyak ujian, lagi banyak pengalaman kita.

"Isu-isu yang kita hadapi ketika ini, tiada yang luar biasa kerana UMNO itu solid (mantap); ada permuafakatan di bahagian dan cawangan, malah dahulu ada team A dan team B, cabar mencabar, tetapi itu semua tidak berlaku ketika ini," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts