BUKAN MELAYU PERCAYA BN MAMPU MENANG PADA PRU KE-14: PERIASAMY

KUALA LUMPUR:  KEPUTUSAN Majlis Tertinggi UMNO (MT) yang sebulat suara menggantung jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO sehingga pemilihan parti akan datang langkah awal pengumuman Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar UMNO bersama isterinya pada 29 Februari.

Penggantungan Muhyiddin adalah keputusan MT yang dijangkakan selepas digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini kerana dikatakan mengkritik kepimpinan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka sekali gus gagal menjalankan tugasnya seperti yang termaktub dalam Fasal 9.8.2.1 Perlembagaan UMNO.

Secara amnya, rakyat negara ini tidak terkejut dengan langkah MT yang menggantung jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden kerana UMNO pernah menyaksikan penggantungan dan pemecatan pemimpin utama parti sebelum ini.

Penggantungan Muhyiddin didapati tidak menimbulkan sebarang isu yang mengocak pemikiran politik warga bukan Melayu malah hanya dilihat sebagai pergolakan dalaman UMNO atau 'a storm in a teacup'.

Rakyat juga tidak terperanjat dengan pengumuman Tun Dr. Mahathir keluar UMNO kerana beliau pernah  mengisytiharkan keluar parti pada 19 Mei 2008 kerana tidak bersetuju dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sejarah juga menunjukkan Dr Mahathir pernah dipecat daripada UMNO pada 26 September 1969 kerana beliau mengkritik secara terbuka pentadbiran Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

Selain itu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam juga pernah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden UMNO kerana bercanggah pendapat dengan Dr.Mahathir atas dasar-dasar kerajaan yang dilaksanakan Dr.Mahathir selaku Perdana Menteri.

Seorang lagi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah  digugur malah dipecat daripada jawatannya oleh MT UMNO pada era kepimpinan Dr.Mahathir.

Persepsi menjelang PRU

Namun, penggantungan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden dan pengumuman Dr.Mahathir yang keluar UMNO dilaporkan akan menimbulkan pelbagai tanggapan terhadap masa depan Barisan Nasional (BN) sendiri dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14.

Ada yang meramal bahawa BN akan mengalami kejatuhan pada PRU ke-14 tanpa sokongan Muhyiddin dan Dr Mahathir.

Persoalannya, apakah penggantungan Muhyiddin dan pengumuman keluar parti oleh Dr Mahathir akan memberi impak atau menggugat peluang BN mempertahankan kuasa dalam PRU ke-14 agar terus mentadbir negara ini ?

Sehubungan ini, BN masih ada dua tahun untuk merancang strategi dan melaksanakan kempen bagi menjamin kemenangan dalam PRU ke-14. Walaupun semua parti komponan BN dilanda pelbagai krisis dalaman  malah dilema kemerosotan sokongan rakyat kerana faktor usia, UMNO dilihat masih kuat, yakin dan optimis dalam menjamin kemenangan dalam PRU ke-14.

Beberapa adegan terbaru dalam pentas politik pembangkang dilihat akan  memberikan ruang dan peluang kepada BN untuk terus menang dan mengekal kuasa dalam mentadbir negara ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa penggantungan Muhyiddin dan serangan Dr Mahathir terhadap kepimpinan UMNO sudah pasti akan mengurangkan sokongan pengundi Melayu kepada BN.

Undi Melayu dijangka akan terpecah berbanding undi Cina dan India. Walaupun pengundi Cina umumnya dianggap akan memihak DAP, mereka dijangka menyokong  BN kerana Najib berjaya mengurus ekonomi negara dengan cemerlang dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu akhir-akhir ini.

Pengundi Cina pernah menyokong BN pada saat akhir pada tahun 1999 dan tidak menyokong pembangkang seperti diwar-warkan kerana pengurusan cekap Dr.Mahathir dalam krisis kewangan.

Sejarah India sokong BN

Pola pemikiran politik di kalangan pengundi India pula dilihat beralih daripada menyokong pembangkang kepada BN. Hampir 85 peratus pengundi India dikesan memihak parti pembangkang dalam PRU ke-12 kerana mereka tersinggung dengan satu kejadian roboh Kuil Hindu di Selangor pada waktu itu. 

Namun, BN mendapat sokongan hampir 45 peratus daripada pengundi India dalam PRU ke-13 kerana mereka menerima kepimpinan Najib yang dianggap ikhlas serta jujur  dalam membela kepentingan kaum India sejak beliau mengambil alih kepimpinan kerajaan.

Najib juga menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet yang dipengerusikan oleh beliau sendiri serta beberapa Unit khas (hampir tujuh unit) di Jabatan Perdana Menteri untuk merancang, melaksana dan mengawasi program-program pembangunan masyarakat India.

Antaranya, penubuhan  Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Masyarakat India (SITF) pada tahun 2010, Sekretariat Khas Untuk memperkasakan usahawan India (SEED), Skim  Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI), Unit Khas Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (SEDIC), Unit Pembangunan Sekolah Tamil dan Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah- Sekolah Tamil.

Satu lagi faktor yang mengalih sokongan kaum India daripada pembangkang kepada BN adalah faktor landskap politik pembangkang yang hilang hala tuju kerana Anwar Ibrahim tidak lagi menjadi nakhoda pembangkang.

Krisis dalaman antara parti pembangkang dijangka mendorong sebahagian besar pengundi India  yang menyokong pembangkang dalam PRU ke-12 dan ke-13 untuk menjauhi pembangkang.

Perpecahan antara PAS dan DAP atas dasar hudud yang mengakhiri kerjasama thahaluf siyasi antara PAS dan DAP juga menyebabkan penyokong PAS menarik balik sokongan mereka kepada DAP.

Akhir-akhir ini, PAS pula didapati berpecah-belah kerana beberapa pemimpin utama yang kalah dalam pemilihan parti keluar daripada parti. Pemimpin yang keluar daripada PAS kemudiannya menubuhkan parti politik serpihan yang dikenali sebagai 'Parti Amanah Negara' (Amanah).

Kepimpinan PKR pula dilaporkan tidak senang hati dengan DAP di Pulau Pinang kerana kepimpinan DAP Pulau Pinang melucutkan jawatan beberapa wakil rakyat PKR  daripada  memegang jawatan dalam badan-badan berkanun kerajaan negeri itu. Tindakan DAP itu dijangka menimbulkan berbalahan yang serius di antara PKR dan DAP.

Perkembangan-perkembangan terakhir ini jelas menunjukkan kerjasama antara parti-parti pembangkang yang terbentuk pada tahun 2008 untuk menjatuhkan BN kian rapuh malah akan terus dikuburkan sebelum PRU ke-14.
  
Sehubungan itu, sekiranya kenyataan Presiden MIC, Datus Seri Dr. S.Subramaniam yang menyifatkan Najib sebagai seorang perdana menteri yang luar biasa dan banyak berjasa kepada kaum India dapat diterjemahkan  dalam sokongan 'undi' kepada BN, maka pengundi India yang ada di dalam 63 kawasan Parlimen di seluruh negara pasti dapat memainkan peranan dalam menjamin kemenangan BN dalam PRU ke-14.

Pada hemat saya, ketiadaan Musa Hitam dan Anwar yang dianggap hebat dalam barisan utama pimpinan UMNO didapati tidak menggugat prestasi dan keunggulan BN dalam pilihan raya umum pada satu ketika dahulu.

Oleh itu, rakyat terutamanya pengundi perlu yakin bahawa UMNO mampu mengurus pergolakan dalam parti secara bijak. Rakyat bertanggungjawab membuat keputusan politik yang bijak dalam PRU ke-14 agar  keamanan, keselamatan dan kesejahteraan yang dinikmati sejak merdeka terus terpelihara.

Ingat pepatah warisan, jangan sampai 'menang sorak kampung tergadai'.

*M. Periasamy merupakan penganalisis politik MIC dan pensyarah komunikasi strategik di Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR)- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts