UMMO SABAH KONSISTEN SOKONG KEPIMPINAN NAJIB: MUSA

KOTA KINABALU:  Badan Perhubungan UMNO Sabah dari sejak awal lagi konsisten dengan pendirian memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada presiden parti dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata pendirian berkenaan lahir daripada komitmen serta kesetiaan kepada perjuangan parti dan taat setia kepada parti perlu hadir bersama kesetiaan kepada pemimpin utama yang telah dipilih secara sah melalui proses demokrasi dalam parti.

"Prinsip kesetiaan ini bukanlah ikrar yang baharu dituntut pada hari ini atau ketika kepimpinan presiden hari ini dipertikaikan, tetapi merupakan legasi adat dan disiplin parti yang memimpin sejarah panjang perjuangan UMNO.

"Setiap era kepimpinan berhadapan dengan cabaran dan setiap satunya dapat ditangani dengan hikmah dan bijaksana serta parti berjaya keluar dari kemelut dengan menjadi lebih kuat.

"Antara kebijaksanaan itu adalah tekad dan iltizam para pendokong parti untuk meletakkan kesetiaan kepada parti dan kepimpinan, meletakkan kepentingan besar parti mengatasi kepentingan peribadi dan kumpulan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Kenyataan ini, merupakan mandat dan pendirian keseluruhan kepimpinan UMNO Bahagian di Sabah yang  dikeluarkan selepas perjumpaan khas Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan UMNO Sabah, di Bangunan UMNO Sabah, di sini hari ini.

Menurut Musa, amat malang sekali apabila kumpulan yang berhajat untuk menjatuhkan perdana menteri sejak dari awal, kini bergabung untuk cuba mengheret rakyat melalui politik kebencian dan perpecahan.

Musa berkata sewajarnya semua pihak berpegang kepada sistem demokrasi negara dan pada masa ini keutamaan perlu diletakkan kepada agenda transformasi negara yang berteraskan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya UMNO Sabah tidak akan lari daripada fokus untuk melaksanakan agenda pembangunan rakyat dan negeri sekali gus mengajak rakyat untuk bersama-sama kerajaan dalam agenda dan kepentingan yang lebih besar ini.

"Gerakan kumpulan yang bermotifkan peribadi dan politik kepartian sempit itu yang berselindung di sebalik slogan 'Selamatkan Malaysia' hanya akan mengundang perpecahan, 'politiking keterlaluan' dan ketidakstabilan politik yang akhirnya hanya akan merugikan rakyat dan negara," tegas Musa.- BERNAMA

Comments

Popular Posts