Followers

PENGANJUR HIMPUNAN BERSIH DAN BAJU MERAH BELUM JELASKAN KOS PEMBERSIHAN: RAHMAN

KUALA LUMPUR:  Kedua-dua penganjur Himpunan Bersih dan Himpunan Baju Merah masih belum menjelaskan sepenuhnya kos kerja-kerja membersihkan kawasan perhimpunan.

Menurut Menteri Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, penganjur himpunan Bersih 2.0 belum membayar RM64,955 manakala Penganjur Himpunan Baju Merah belum membayar RM38,214.70.

"Selaras dengan itu, berdasarkan maklumat yang diterima, syarikat Alam Flora Sdn Bhd telah mengambil tindakan dengan menghantar invois tuntutan bayaran bertarikh 1 September 2015 kepada penganjur Himpunan Bersih dan 30 September 2015 kepada penganjur Himpunan Baju Merah.

"Justeru itu, sebarang tindakan susulan berkenaan tuntutan kos bayaran pembersihan kepada pihak penganjur akan dibuat oleh pihak syarikat Alam Flora Sdn Bhd memandangkan pihak konsesi tersebut mempunyai hak untuk membuat tuntutan ini dan selaku pihak yang memberi perkhidmatan," katanya dalam satu jawapan bertulis di Parlimen.

Abdul Rahman berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong, yang ingin tahu jika penganjur Himpunan Bersih dan Baju Merah telah membayar kos pembersihan dan jika tidak apakah tindakan yang akan diambil ke atas kedua-dua penganjur.

Himpunan Bersih 4 diadakan pada 29 dan 30 Ogos dengan anggaran 300,000 orang menyertainya manakala Himpunan Baju Merah pula diadakan pada 16 September menghimpunkan 50,000 orang walau pada awalnya dikatakan akan membabitkan 1,000,000 peserta. - ASTRO AWANI

No comments:

Post a Comment