ZAHID ARAH OPERASI SAR ANAK ORANG ASLI YANG MASIH HILANG DILIPATGANDAKAN


KUALA LUMPUR:  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah mengarahkan supaya operasi mencari dan menyelamat (SAR) anak Orang Asli yang masih hilang dilipatgandakan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut meminta semua pihak memberi kerjasama penuh terutama masyarakat tempatan supaya nasib mereka diketahui secepat mungkin.
"Saya telah mengarahkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mempertingkat usaha SAR ini," katanya dalam kenyataan hari Ahad.

Setakat ini, dua daripada tujuh kanak-kanak yang hilang pada 23 Ogos itu ditemui selamat iaitu Miksudiar Aluj, 11, dan Norieen Yaakob, 10, manakala Sasa Sobrie, 8, dan Ika Ayel, 9, disahkan meninggal dunia.

Polis masih mengkategorikan tiga lagi kanak-kanak iaitu Juvina David, 7, Haikal Yaakob, 8, dan Linda Rosli, 8, sebagai masih hilang meskipun dua rangka telah ditemui kerana belum ada keputusan DNA.

Ahmad Zahid menegaskan kerajaan mengambil serius kehilangan kanak-kanak Orang Asli itu.
"Keutamaan pasukan SAR kini adalah untuk mencari dan menyelamatkan mangsa yang masih belum ditemui," katanya.

Beliau merakamkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga dua mangsa yang disahkan meninggal dunia selain bersyukur dengan penemuan dua lagi mangsa yang terselamat dalam tragedi itu.

"Sebagai seorang bapa, saya amat memahami naluri ibu bapa mangsa dan bersimpati dengan seluruh anggota keluarga dan rakan-rakan mangsa yang terpaksa berhadapan tragedi itu.

"Marilah kita sama-sama mendoakan agar anak-anak yang masih hilang berada dalam keadaan selamat," katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak supaya mengambil kira sensitiviti keluarga mangsa dan tidak mempolitikkan kejadian itu.

"Janganlah kita berfikiran sempit dan melihat semua isu daripada lensa perkauman. Kerajaan sentiasa konsisten dan komited dalam memastikan keselamatan semua lapisan masyarakat berbilang bangsa di negara ini terbela dan dimartabatkan," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts