POLIS PERLU SENTIASA JAGA IMEJ ELAK TANGGAPAN BURUK MASYARAKAT


KLANG:  Pegawai dan anggota polis perlu sentiasa menjaga kelakuan serta imej pasukan bagi mengelakkan tanggapan buruk di kalangan masyarakat.


Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata ia kerana masyarakat meletakkan sepenuh kepercayaan kepada polis untuk menjaga keselamatan mereka.

"Setiap tingkah laku dan gerak-geri pegawai serta anggota kita diperhatikan masyarakat kerana mahu anggota dan pegawai yang terbaik.

"Dengan kemajuan teknologi masa kini, masyarakat mudah merakam tingkah laku anggota polis yang kemudian akan diviralkan...ini akan menjejaskan imej pasukan terutamanya anggota yang bertugas di unit peronda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang dan Shah Alam, di sini, hari ini.
          
Beliau berkata sekiranya perkara berkenaan berlaku ia boleh mewujudkan persepsi buruk terhadap polis dan mengurangkan keyakinan masyarakat kepada pasukan keselamatan itu.


Pada masa sama, Abdul Samah meminta masyarakat supaya tidak menyalahkan polis secara keseluruhan hanya disebabkan tindakan satu atau dua anggota yang melakukan kesalahan.

Ini kerana katanya, dalam organisasi besar seperti polis pasti ada yang melakukan kesilapan.

Sementara itu, beliau berkata polis ngeri itu berjaya menurunkan kadar indeks jenayah sebanyak 12.84 peratus atau berkurangan 3,859 kes sejak awal tahun sehingga semalam berbanding tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata semua kategori jenayah menurun kecuali jenayah kekerasan dan harta benda membabitkan kes bunuh, mendatangkan kecederaan serta ragut.

"Jenayah bunuh mencatatkan 119 kes dari Januari hingga semalam berbanding 94 kes bagi tempoh sama tahun lepas. Bagi jenayah mendatangkan kecederaan pula, ia merekodkan 1,009 kes tahun ini berbanding 895 tahun lepas manakala ragut meningkat 42 kes menjadikannya 794 kes tahun ini," katanya.

Beliau berkata, keadaaan itu bagaimanapun masih terkawal dan polis akan memberikan sepenuh komitmen untuk mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.

Terdahulu, Abdul Samah menyampaikan sijil penghargaan kepada 182 anggota dan penjawat awam yang bertugas di IPD Klang Selatan, Klang Utara dan Shah Alam yang menunjukkan kecemerlangan dalam tugas masing-masing. - BERNAMA

Comments

Popular Posts