PARLIMEN: TIDAK BENAR MALAYSIA TEMPAT PERLINDUNGAN PENGGANAS : AHMAD ZAHID


KUALA LUMPUR:  Dakwaan Malaysia digunakan pengganas antarabangsa sebagai tempat perlindungan disangkal Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Ahmad Zahid (BN-Bagan Datoh) berkata kenyataan ini tidak dapat disahkan kebenarannya.

"Tahap keselamatan negara berada dalam keadaan baik dan terkawal dari ancaman anasir pengganas di dalam dan luar negara," kata beliau, yang juga Menteri Dalam Negeri.

Tambah beliau, berdasarkan risikan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Malaysia merupakan negara transit.

Kata Ahmad Zahid lagi, kerajaan sedar terdapat segelintir rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan elemen-elemen kumpulan militan  IS.

Namun, tegas beliau pihak polis memantau operasi mereka secara berterusan.

Setakat ini, 132 orang yang terlibat dengan elemen-elemen pengganas termasuk IS ditahan hasil kerjasama pihak polis dengan agensi perisikan antarabangsa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) mengenai tahap keselamatan negara ketika ini dan mengapa kononnya Malaysia menjadi tempat perlindungan bagi pengganas antarabangsa. - ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts