ATM AKAN TERUS MENYUMBANG SATU BATALION INFANTRI BAGI MISI PENGAMAN : HISHAMUDDIN


KUALA LUMPUR:  Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus menyumbang satu batalion infantri untuk penghantaran segera bagi membantu misi pengaman dan pembinaan keupayaan melalui latihan di Pusat Pengaman Malaysia (MPC).


Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau telah mengarahkan infantri batalion tambahan dan unit kejuruteraan yang dicadangkan itu supaya bersiap sedia menerima latihan daripada Markas Angkatan Bersama untuk penghantaran misi pengaman.
   
"Penghantaran tambahan tentera ATM kita adalah tanda komitmen Malaysia sebagai anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), untuk membantu negara-negara yang dilanda konflik, untuk mewujudkan keadaan bagi keamanan berkekalan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
   
Hishammuddin berkata kementeriannya dan ATM komited sepenuhnya kepada sokongan kerajaan terhadap objektif Sidang Kemuncak PBB bagi memperkukuhkan operasi pasukan pengaman PBB.
   
Baru-baru ini, Malaysia berjanji untuk menghantar 380 pegawai dan anggota polis untuk misi pasukan pengaman PBB.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat ikrar itu ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pengaman PBB di New York pada Isnin.
   
Hishammuddin berkata MPC di Port Dickson menyediakan anggota ATM, bersama-sama dengan pihak polis dan jabatan-jabatan awam serta badan bukan kerajaan  dengan latihan dan pengetahuan bagi membolehkan mereka berfungsi dalam operasi pengaman, sekali gus menyediakan mereka bagi tugas-tugas operasi dalam operasi pengaman.
   
"Pusat yang telah melatih 1,931 pegawai-pegawai tempatan dan 612 peserta antarabangsa dari 52 negara adalah bukti komitmen Malaysia yang berterusan ke arah keamanan sejagat yang merupakan asas kepada Dasar Pertahanan Negara kita.
   
"Oleh kerana kepakaran yang dibawa dari Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) dan kerjasama rapat antara UNDP dan rakan-rakannya, MPC telah mengukuhkan peranannya sebagai pusat latihan pengaman antarabangsa dan membolehkan Malaysia memainkan peranan yang semakin penting dalam menyokong inisiatif PBB di peringkat serantau dan global.
   
"Sebagai Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) tahun ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa usaha kami menerima pakai dengan berkesan kertas konsep mengenai Kumpulan Tentera ASEAN Yang Bersiap Sedia mengenai Bantuan Kemanusiaan dan Bencana dalam ADMM ke-9 telah menerima pengiktirafan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Sidang Kemuncak Pengaman PBB baru-baru ini," katanya.
  
Tambahnya Kumpulan Bersedia itu akan bertindak sebagai pasukan khusus yang terdiri daripada pakar dalam bantuan bencana dan perubatan ketenteraan dari semua negara ASEAN untuk dikumpulkan di bawah satu panji.

Pasukan ini akan dilatih bersama-sama, membangunkan prosedur bersama dan operasi saling kendali di bawah platform ADMM sedia ada Hishammuddin berkata sekiranya berlaku bencana, atas permintaan negara tuan rumah, pasukan ini akan segera dihantar, mengambil peranan utama daripada sebuah
pusat penyelarasan.
   
Oleh itu, beliau berkata Kumpulan Bersedia ASEAN akan mempunyai pelepasan diplomatik yang ditetapkan khas untuk kemasukan, talian khas komunikasi dan sumber manusia dan peralatan kepakaran khas yang dikenal pasti terlebih dahulu bagi memenuhi pelbagai keperluan dalam bencana tertentu.
   
"ATM telah memainkan peranan penting dalam pelaksanaan dasar diplomasi pertahanan asing. Ia telah mendapatkan penglibatan dua hala dan pelbagai hala dalam aspek yang berbeza seperti latihan, penyertaan dalam pasukan pengaman PBB dan juga operasi kemanusiaan dan bantuan bencana," katanya.
   
Hishammuddin berkata kejayaan usaha ATM bukan sahaja meningkatkan profil Malaysia tetapi mengukuhkan lagi hubungan yang telah lama terjalin antara ATM dan rakan sejawatannya baik di peringkat serantau dan global.
   
"Ia adalah strategik penting yang sangat mustahak bagi Malaysia untuk menjadi anggota masyarakat global yang bertanggunjawab serta aktif dan penting bagi menyatakan bahawa Tentera Malaysia kita telah menerima pujian atas hasil kerja mereka daripada PBB, NATO, OIC dan negara-negara lain, dan kami berasa amat berbangga dengan perkhidmatan mereka demi kebaikan untuk orang lain,"
katanya.
   
Pada masa ini, 920 anggota ATM yang terlibat dalam beberapa misi di luar negara dengan pasukan pengaman Malaysia mengambil bahagian dalam misi PBB di Lebanon, sebagai pemerhati PBB di Republik Demokratik Congo, Sahara Barat, Liberia, Darfur & Abyei, di bawah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan dan di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Mindanao. - BERNAMA

Comments

Popular Posts