KAKITANGAN PENGUATKUASA ESSZONE TERLIBAT RASUAH ADALAH PENGKHIANAT : HASHIM JUSTIN


LAHAD DATU:  Timbalan Pengarah Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), ACP Hashim Justin menyifatkan kakitangan awam yang terlibat dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa ketika menjalankan tugas penguatkuasaan adalah sebagai pengkhianat negara.

Beliau berkata amalan seumpama itu bukan sahaja mencemar imej baik perkhidmatan awam tetapi juga menggugat keselamatan negara.

"Mereka sepatutnya menjalankan tanggungjawab dengan telus dan jujur kerana mereka menjadi sandaran masyarakat untuk menguatkuasakan undang-undang negara termasuk urusan pengeluaran kad pengenalan dan pasport.

"Namun sebaliknya ada segelintir kakitangan awam yang terlibat dengan amalan rasuah terutama dalam membantu dan mempermudahkan pendatang tanpa izin memperolehi dokumen pengenalan diri atau Mykad," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah Keselamatan dan Ancaman Keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), sempena program memperkasa Skuad Uniti Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Lahad Datu di sini semalam.

Hashim turut menyambut baik kesediaan Skuad Uniti JPNIN bekerjasama dengan ESSCom dan Pasukan Keselamatan khususnya di ESSZone.

Beliau berkata ia adalah selaras dengan visi penubuhan ESSCom yang bertekad untuk memastikan ketenteraman dan keselamatan rakyat di ESSZone sentiasa terjamin. -BERNAMA

Comments

Popular Posts