HENTIKAN KENYATAAN PERSENDIRIAN DEMI PERBATUAN POLITIK: ZAHID


KUALA LUMPUR:  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpandangan bahawa sebarang kenyataan yang akan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sepatutnya datang daripada pengerusinya sahaja.


Malah, katanya sebarang perbezaan pendapat di dalam PAC haruslah dibincangkan sesama jawatankuasa dan bukan mengeluarkan kenyataan bersifat peribadi demi kepentingan politik.

"Sepatutnya Pengerusi PAC mengeluarkan kenyataan, itu pun kenyataan yang harus dikeluarkan berdasarkan pada laporan yang dipersetujui (anggota) PAC itu.

"Bersetuju atau tidak di dalam mesyuarat PAC itu hendaklah diselesaikan. Apabila laporan terakhir itu dikemukakan dan hanya laporan akhir itu hanya yang boleh didedahkan pada umum untuk dihadamkan dan digunakan sebagai hasil siasatan daripada pihak PAC.

"Bukan mengeluarkan dokumen atau memberikan pandangan yang berbeda ataupun melontarkan sesuatu kerahsiaan apa yang dibincangkan untuk mendapatkan perbatuan politik," katanya dalam temubual eksklusif bersama Astro AWANI di Parlimen hari ini.

Tegas Zahid, dalam konteks siasatan yang dilakukan PAC, tidak sepatutnya wujud pendapat peribadi.
"Dalam hal ini, tidak boleh ada pendapat peribadi kerana (mereka) dilantik secara rasmi oleh Majlis, ertinya Dewan Rakyat.

"Peraturan dan undang-undang Dewan Rakyat itu harus diiktiraf sebagai peraturan untuk menjaga kepentingan rakyat secara keseluruhannya dan negara supaya tidak ditanggulangi oleh beberapa permasalahan disebabkan politik sempit," ujar Ahmad Zahid.

Mengulas berkenaan pelantikan anggota PAC yang baharu, Ahmad Zahid melihat ia merupakan satu kombinasi yang baik antara personaliti semua ahli jawatankuasa itu.

"Saya melihat terdapat kombinasi yang baik antara personaliti yang dilantik dalam PAC. PAS juga telah menamakan Datuk Takiyuddin Hassan sebagai wakil mereka. Beliau adalah seorang peguam.
"Jadi kombinasi antara ahli-ahli PAC dalam pelbagai parti politik ini diharap tidak menzahirkan kepentingan parti masing-masing tetapi lebih kepada kepentingan nasional," tambah Zahid.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts