PENYERTAAN MALAYSIA DI EXPO MILANO PELABURAN MEMBUAHKAN HASIL : NAJIB


MILAN:  Langkah Malaysia menyertai Expo Milano 2015 merupakan satu pelaburan yang membuahkan hasil bukan sahaja bagi sektor pelancongan tetapi juga perniagaan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.


Perdana Menteri berkata selain meraih pulangan bagi tempoh jangka pendek dan juga jangka panjang, penyertaan Malaysia dalam ekspo terbesar dunia yang diadakan lima tahun sekali itu juga telah mendedahkan kepada negara Eropah terutamanya Itali mengenai peluang perniagaan dan pelaburan di Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengakhiri lawatan kerjanya ke Milan selama tiga hari bermula Jumaat lepas.

Najib berkata, setakat ini seramai 2.4 juta orang telah mengunjung pavilion Malaysia iaitu 15 peratus daripada jumlah keseluruhan pengunjung, yang mana ia mengatasi sasaran negara seramai 1.6 juta orang.

Expo tersebut yang bermula 1 Mei lepas akan berakhir pada 30 Okt ini.

Kaji selidik sebuah akhbar tempatan, Corroere della Sierra, mendapati Malaysia merupakan negara ketiga paling diminati pelawat untuk dikunjungi selepas ekspo tersebut.

"Tanggapan pengunjung terhadap Malaysia amat tinggi," katanya.

Selain itu, masakan dan produk masakan Malaysia juga menduduki tempat ketiga paling sedap selepas Itali dan Columbia dalam kaji selidik akhbar berkenaan.

"Malah penjualan makanan di Pavilion Malaysia mencatat RM1.7 juta sepanjang ekspo tersebut, sementara barangan perusahaan kecil dan sederhana termasuk makanan sedia di masak mencatatkan RM1 juta," katanya.

Sementara itu, katanya, kayu berlapis gam yang digunakan dalam pembinaan Pavilion Malaysia turut mendapat akses ke negara-negara Kesatuan Eropah buat pertama kalinya, berikutan ciri-cirinya yang mesra alam.

Najib berkata langkah kerajaan menyertai ekspo tersebut adalah satu keputusan yang tepat.

"Kita perlu memperkenalkan profil Malaysia lebih kompetitif lagi serta mencari pelbagai kaedah untuk menonjolkan imej negara di negara-negara luar terutamanya di Eropah," katanya.

Tambahnya, Malaysia perlu mengandakan usaha yang bersepadu dan berterusan dalam meningkatkan profil Malaysia di persada dunia.
- BERNAMA

Comments

Popular Posts