TIADA SALAH GUNA KUASA TERHADAP TERTUDUH 124B HINGGA 124N KANUN KESEKSAAN : ZAHID


KUALA LUMPUR:  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata tiada sebarang penyalahgunaan kuasa berlaku terhadap tertuduh yang didakwa dan disiasat mengikut Seksyen 124B hingga 124N Kanun Keseksaan.


Selain itu, pembelaan dan hak mereka mengikut seksyen berkenaan juga terjamin, kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menurutnya definisi yang jelas diberikan dalam pindaan Kanun Keseksaan itu, yang membolehkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melaksanakan tugas berdasarkan undang-undang dengan lebih tepat.
"Dalam apa cara sekalipun, tiada sebarang penyalahgunaan kuasa dan kes-kes terlibat akan tetap dibawa ke Mahkamah untuk dibicarakan," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) yang meminta senarai penuh nama orang yang sedang disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 124B hingga 124N Kanun Keseksaan serta tindakan yang diambil bagi mengelak penyalahgunaan kuasa.

Ahmad Zahid berkata sehingga kini, dua orang telah dituduh daripada tujuh orang dalam 10 kes mengikut Seksyen 124B hingga 124N Kanun Keseksaan.

Mereka disiasat berhubung kesalahan berkaitan menggugat demokrasi berparlimen, sabotaj dan espionaj.

"Bagaimanapun, dalam hal ini saya tidak bercadang untuk mendedahkan maklumat lanjut memandangkan ada di antara kes ini masih lagi di dalam siasatan pihak polis dan prosiding perbicaraan," katanya.- BERNAMA

Comments

Popular Posts