NAJIB PERJELAS 1MDB KEPADA PEMIMPIN PERNIAGAAN AS, KATA SALLEH


KUALA LUMPUR:  Dakwaan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak enggan mengulas atau memberi penerangan tentang isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada pemimpin perniagaan AS adalah tidak benar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.


Beliau berkata Najib mengadakan pertemuan dengan mereka semasa lawatannya ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

"Semasa jamuan tengah hari dengan ahli perniagaan sehari sebelumnya, Najib menyentuh tentang kelemahan model perniagaan 1MDB yang disifatkan beliau terlalu idealistik.

"Najib jelaskan bahawa hanya RM1 bilion dilabur bagi melaksanakan pembangunan hartanah dan RM18 bilion bagi membeli loji jana kuasa, menyebabkan syarikat menanggung hutang pembiayaan yang besar," katanya menerusi catatan terbaharu dalam blog beliau sskeruak.blogspot.my, di sini hari ini.

Najib turut memberitahu tetamu yang beliau yakin syarikat akan dapat melaksanakan proses rasionalisasi dengan pengurangan hutang besar-besaran, menjelang hujung tahun ini, kata Salleh.

Katanya, Najib juga memaklumkan kepada pemimpin perniagaan bahawa dalam tempoh beberapa hari lagi akan diumumkan pengurangan hutang 1MDB yang signifikan kepada RM16 bilion.

Namun, semua ini tidak dilapor oleh portal berita tempatan yang nampaknya mengelak untuk menyiarkan sebarang berita baik berhubung 1MDB, katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts