NAJIB JANJI AMBIL TINDAKAN PALING KERAS JIKA SIASATAN 1MDB DEDAHKAN WUJUD SALAH LAKU


KUALA LUMPUR,:   Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji mengambil "tindakan paling keras" terhadap mereka yang bertanggungjawab jika siasatan 1MDB mendedahkan wujud salah laku.


Perdana Menteri berkata 1Malaysia Development Berhad berdepan tempoh yang sangat mencabar namun "langkah-langkah konkrit" sedang diambil untuk menangani keadaan.

Berucap merasmikan Forum Transformasi Global, atau GTF 2015 yang pertama kali diadakan di KLCC di sini pada Rabu, beliau berkata 1MDB melaksanakan pelan rasionalisasi yang, jika dibiarkan berterusan tanpa halangan, akan membolehkan syarikat itu membayar balik hutang terkumpul dan menyelesaikan "isu-isu aliran tunai" yang dihadapinya.

"Dari segi dakwaan salah laku, terdapat beberapa penyiasatan, sesetengahnya di Malaysia - yang saya sendiri arahkan - dan yang lain dengan pihak berkuasa antarabangsa yang saya alu-alukan," kata Najib.

"Daripada menjalankan perbicaraan oleh media, kita mesti menunggu hasil siasatan, dan jika didapati sebarang bukti salah laku, saya boleh memberi jaminan bahawa tindakan yang paling keras akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab," katanya.

Sambil merujuk kepada teras forum tersebut, Najib berkata, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri, telah menarik minat negara-negara lain dan mendapat pengiktirafan badan-badan antarabangsa yang terkemuka bagi metodologinya dalam membawa transformasi negara.

"Kita telah menerima banyak penghargaan untuk kerja-kerja yang kita lakukan. Tahun lepas sahaja Bloomberg dan Nesta UK - National Endowment for Science, Technology and the Arts - menamakan Pemandu sebagai satu daripada 20 pasukan inovasi kerajaan dalam dunia.

"Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Datuk Seri Idris Jala dapat menyertai senarai 50 pembuat dasar teratas Bloomberg. Institusi yang dihormati seperti Harvard dan Princeton, dan juga Bank Dunia, telah melakukan kajian kes yang ekstensif terhadap usaha Pemandu," kata Perdana Menteri.

Najib berkata, pasukan Pemandu itu menyertai perbincangan intensif dengan kakitangan dari beberapa negara mengenai bagaimana mereka boleh menerima pakai metodologi transformasi Malaysia.

Forum tiga hari itu dianjurkan oleh Big Fast Results Institute Malaysia  dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu UNDP.

GTF akan menjadi platform bagi pemegang taruh global untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik, dan untuk membangunkan satu keazaman transformasi untuk menangani isu-isu utama sosio-ekonomi. - BERNAMA

Comments

Popular Posts