KERJASAMA ERAT ANTARA NEGARA TANGANI JENSYAH SIBER TERMASUK MILITAN : HISHAMMUDDIN


BEIJING:  Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata negara yang mempunyai kemahiran, kepakaran dan kemampuan sedang bekerjasama dengan Malaysia untuk tangani jenayah siber.


Katanya kerjasama dengan kuasa lain sedang dilakukan dan beliau turut bekerjasama rapat dengan Amerika Syarikat, United Kingdom dan risik daripada China.

"Ini orang ramai tidak tahu kelebihan yang ada pada Malaysia. Penghormatan dan kepercayaan kepada Malaysia oleh kuasa besar yang sanggup bekerjasama rapat dengan kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada sesi pleno pertama mengenai "Trend Pertahanan Asia-Pasifik: Peluang dan Cabaran" pada Forum Pertahanan Xiangshan Keenam, di sini pada Sabtu.

Dalam insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 pada Mac tahun lepas, Hishammuddin berkata kemampuan Malaysia terhad kerana ketiadaan aset dan peralatan canggih tetapi ada yang masih tampil dan bantu, dan ia boleh dilakukan untuk membanteras jenayah siber.

Katanya walaupun Malaysia tidak mempunyai peralatan canggih, kerjasama erat bersama negara tertentu yang ada kemahiran, kepakaran dan kemampuan sedang dilakukan kerana gerakan kesederhanaan yang didokong.

"Gerakan kesederhaan ini dipimpin Malaysia dan mesti mendapat sokongan daripada majoriti bukan sahaja daripada umat Islam yang sederhana tetapi penganut agama yang lain," jelasnya.

Hishammuddin berkata penelitian dan perkongsian maklumat secara risik di alam siber dalam konteks militan amat penting kerana fenomena militan negara Islam (IS) hari ini yang menggunakan sosial media untuk mendapatkan sokongan dan pengambilan anggota.

"Kalau dulu siber dan internet digunakan Al Qaeda, Jemaah Islamiyah menyembunyikan identiti mereka sebagai satu kumpulan militan, hari ini siber digunakan untuk mewar-warkan ideologi IS. Itu bezanya gerakkan militan dulu dan sekarang," jelasnya.

Beliau berkata penyebaran IS di alam siber merupakan fenomena baru yang bukan sahaja datang dari negara Islam tetapi mendapat sambutan luar biasa daripada negara Barat dan ia tidak pernah dihadapi dahulu.

Mengenai pertumbuhan Islamophobia atau ketakutan terhadap Islam di Barat dan di tempat lain yang membimbangkan, Hishammuddin berkata ia berkisar kepada segelintir mereka di atas nama Islam yang "merampas" Islam yang sebenar.

"Masa sudah sampai untuk majoriti ummah kita yang sederhana dan pegang kepada wajah Islam yang sebenar untuk bangkit dan berdepan dengan mereka. Ini adalah tanggungjawab yang perlu disedarkan melalui forum seperti hari ini," tegasnya.

Mengenai kerjasama antara ASEAN dan China, Hishammuddin berkata ia bukan sahaja peluang tetapi satu keperluan kerana China adalah jiran, kuasa besar dan negara tembok besar itu secara geografi dikaitkan dengan Malaysia dan ASEAN.

"Jadi kemampuan kita berurusan dengan China dan juga hakikat China sedia menjalin hubungan dengan ASEAN dan Malaysia terutamanya, saya fikir ia tanda yang baik," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts