SEKTOR KORPORAT PEMACU PERTUMBUHAN EKONOMI MALAYSIA : NAJIB


KUALA LUMPUR:  Kerajaan kini beralih kepada sektor korporat sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara berikutan kekangan ruang dasar yang terhad serta jangkaan kelembapan dalam perbelanjaan swasta, kata  Datuk Seri Najib Tun Razak.


Menurut Perdana Menteri, ini menyamai keadaan pada tahun 2008 dan tahun 2009 apabila kerajaan memperkenalkan dua pakej rangsangan ekonomi selaras matlamat negara untuk mengurangkan defisit fiskal dan paras hutangnya.

"Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kita yang berkembang dan dipertingkatkan oleh Program Transformasi GLC kini berada pada kedudukan yang baik untuk mengemudi pertumbuhan ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup Forum Megatrend Khazanah 2015, di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, Najib yang juga Menteri Kewangan, menggesa kalangan GLC atas semangat memperluaskan lagi mandat pembangunan negara, untuk meningkatkan lagi pelaburan mereka dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi bagi memacu pertumbuhan Malaysia.

"Ini penting kerana mereka turut terdedah kepada saingan, sama yang diketahui atau tidak. Syarikat korporat ini memiliki keupayaan itu dan saya hanya mahukan mereka memainkan peranan masing-masing," katanya.

Najib turut menekankan kepentingan sistem pendidikan bagi masa depan ekonomi negara.

Jelasnya, hanya menerusi usaha memantapkan sistem pendidikan bagi  peringkat prasekolah rendah sehingga institusi pengajian tinggi, akan membolehkan negara membangunkan modal insan yang penting bagi pembentukan pengetahuan serta kegiatan R&D berteraskan penjanaan nilai.

"Tiada yang lebih penting daripada melabur bagi membentuk pemikiran masa depan kita. Sistem pendidikan kita juga perlu sentiasa berkembang," katanya.

Sehubungan itu, tegas Najib, tumpuan perlu diberikan terhadap subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik selain menyemai kepentingan menguasai kemahiran berbahasa Inggeris.

"Keperluan untuk fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris adalah utama. Saya sendiri berasakan yang kita masih belum mencapainya. Kita perlu berusaha lebih gigih supaya tahap penguasaan itu dapat dipertingkatkan secara lebih meluas lagi," katanya.

Menyentuh inovasi, Perdana Menteri berkata, ia dicetuskan oleh impian dan keyakinan manakala keberanian mengambil risiko serta kreativiti juga penting dalam ekonomi yang berpaksikan inovasi.- BERNAMA

Comments

Popular Posts