Followers

SAYA TIDAK AKAN MOHON MAAF TERHADAP PENIAGA CINA : ISMAIL SABRI


PUTRAJAYA:  Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini berkata beliau tidak akan menarik balik ataupun memohon maaf atas kenyataannya terhadap peniaga Cina yang enggan menurunkan harga, baru-baru ini.

Jelas beliau, tiada keperluan untuk memohon maaf kepada masyarakat Cina kerana kenyataannya itu bertujuan untuk kebaikan semua peniaga tanpa mengira bangsa.

"Tiada istilah untuk memohon maaf atau menarik balik kerana niat (kenyataan itu) adalah baik iaitu untuk menjaga kepentingan pengguna secara keseluruhan," kata Ismail ketika ditemui wartawan di Kelab Tasik Putrajaya pada Rabu.

Katanya, meskipun ramai peniaga terdiri dari kaum Cina tetapi majoriti daripada kaum tersebut juga merupakan pengguna, sama seperti bangsa-bangsa lain.

Menurut Ismail, tindakan juga harus diambil kepada peniaga-peniaga Melayu dan India yang enggan menurunkan harga barang mereka.

"Kita kena ambil dari sudut positif, kalau ambil dari negatif sampai bila-bila pun kita tak boleh selesaikannya (masalah harga barang tinggi)," katanya lagi.

Sementara itu, mengulas tentang desakan Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon yang mahu Ismail digugurkan dari kabinet, beliau berkata gesaan itu adalah salah.

"Tiada siapa pun yang boleh meminta Perdana Menteri memecat sesiapa sebab perogatif perlantikan adalah kuasa PM.

"Jangan sekali-sekali siapa pun minta PM atau mendesak beliau dan sebagainya kerana kita tidak boleh desak (PM)... itu kuasa PM," tegas Ismail.

Selain itu, beliau turut menggesa polis agar menjelaskan tindakan yang boleh dikenakan terhadap pihak yang ingin membuat ugutan terhadap dirinya.

"Pihak polis sepatutnya ambil tindakan... bukan saya buat kenyataan terbuka tetapi saya jawab melalui Facebook... orang lain punya dan kemudian di'viral'kan," tambah Ismail.

Dalam pada itu beliau juga memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut namun enggan mengulas lanjut sehingga sehingga kenyataan tersebut keluar.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Ismail Sabri pada Isnin berkata pengguna harus bersatu untuk memberi tekanan kepada peniaga dalam memastikan harga barangan diturunkan ekoran penurunan harga minyak.

Kenyataannya itu meminta rakyat memboikot pemborong dan peniaga yang masih enggan menurunkan harga barang yang dilihat bukan sahaja memberi faedah kepada kaum Melayu tetapi juga pengguna berbangsa Cina.

Kenyataan itu telah mengundang pelbagai kecaman bukan sahaja dari pihak pembangkang malah dari kepimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri iaitu MCA. - ASTRO AWANI

No comments:

Post a Comment