Followers

ISU BOIKOT: KABINET GESA PENIAGA LEBIH BERTANGGUNGJAWAB


KUALA LUMPUR:  Kabinet hari ini menggesa para peniaga supaya bersifat bertanggungjawab dan bertimbang rasa dalam menentukan harga barang dan perkhidmatan sejajar dengan penurunan harga minyak agar pengguna dapat merasa kesan penurunan harga itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri hari ini,  kabinet juga telah dimaklumkan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu adalah bertujuan untuk menegur para peniaga yang enggan menurunkan harga barang walaupun harga minyak dan diesel telah turun.

"Teguran yang dibuat oleh beliau ditujukan kepada semua peniaga dan bukan kepada peniaga daripada kaum tertentu.

"Sebarang pertelingkahan yang boleh menuju kepada polarisasi kaum di negara ini tidak sepatut dipanjangkan kerana ia hanya akan membawa kemudaratan kepada kita semua," tambah kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu juga, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menegaskan bahawa kerajaan Barisan Nasional akan terus membela dan menjaga kepentingan semua kaum.

"Selain itu, pengguna hendaklah menjadi pengguna bijak, dengan menggunakan kuasa mereka untuk mendorong para peniaga agar meletakkan harga yang berpatutan," tambah kenyataan itu.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Ismail Sabri pada Isnin berkata pengguna harus bersatu untuk memberi tekanan kepada peniaga dalam memastikan harga barangan diturunkan ekoran penurunan harga minyak.

Kenyataannya itu meminta rakyat memboikot pemborong dan peniaga yang masih enggan menurunkan harga barang yang dilihat bukan sahaja memberi faedah kepada kaum Melayu tetapi juga pengguna berbangsa Cina.

Kenyataan itu telah mengundang pelbagai kecaman bukan sahaja dari pihak pembangkang malah dari kepimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri iaitu MCA. - ASTRO AWANI

No comments:

Post a Comment