PEMBANGUNAN SEIMBANG ANTARA SEMENANJUNG DAN SARAWAK, SABAH JADI IMPIAN KERAJAAN


KUALA LUMPUR:  Mengurangkan jurang perbezaan ekonomi antara Semenanjung dengan Sarawak dan Sabah menerusi pelaksanaan projek, menjadi impian kerajaan dalam melihat seluruh rakyat menikmati pembangunan seimbang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tidak ada sesiapa boleh menafikan bahawa terdapat jurang perbezaan dari segi kemajuan dan pembangunan, yang boleh dikatakan sebagai ketara antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

"Sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), saya telahpun melipatgandakan pembangunan di Sabah dan Sarawak bagi menangani isu ini," katanya menerusi tulisan dalam blognya di NajibRazak.com bertajuk 'Di Bawah Payung Jalur Gemilang', hari ini.

Beliau berkata sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 2009, peruntukan besar telah diluluskan saban tahun untuk Sabah dan Sarawak khususnya bagi pelbagai program yang berpaksikan rakyat, antaranya termasuk menyediakan bekalan air dan elektrik agar mereka di kawasan luar bandar dan pedalaman dapat menikmati kemudahan asas itu.

Katanya kelulusan geran perladangan komoditi sawit dan getah juga diberikan agar mereka dapat berdikari dan mempunyai sumber pendapatan yang stabil selain Bantuan Rakyat 1Malaysia serta bantuan-bantuan lain, yang dihulurkan terus kepada penduduk tanpa mengira jarak dan kesukarannya.

"Tanpa keraguan, saya akan tetap meneruskan dasar yang memberikan peluang secara sama rata kepada setiap rakyat Malaysia agar dapat bersama-sama menikmati kemakmuran dan pembangunan Malaysia," kata Najib.

Perdana Menteri menjelaskan lagi projek lain termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, yang diluluskan baru-baru ini, satu projek mega yang akan menghubungkan bandar-bandar utama Sabah dan Sarawak.

Sebagaimana Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang membuka pelbagai peluang pembangunan dan menambah baik perhubungan antara bandar di Semenanjung, begitu juga Lebuhraya Pan Borneo kelak apabila siap dibina, katanya.

"Sebagaimana yang diketahui umum, perjanjian Lebuhraya Pan Borneo Sarawak telahpun dimeterai dan Insya-Allah saya juga akan melancarkan jajaran Sabah pada akhir tahun ini atau awal tahun depan," katanya.

Beliau yakin projek itu akan menjadi pemangkin yang akan mentransformasikan kehidupan dan mengubah landskap di Sabah dan Sarawak, seterusnya membawa pertumbuhan ekonomi yang pesat di sana.

Najib juga berjanji untuk memastikan bahawa segenap lapisan masyarakat tidak terpinggir, termasuklah rakyat Malaysia dalam golongan 40 peratus terendah, dalam usaha kerajaan untuk membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Kita akan mempertahankan kedaulatan dan meneruskan usaha membangunkan negara kita, memajukan setiap anak bangsa," katanya sambil menegaskan pendirian itu kini diterapkan dalam pentadbiran hari ini.

Mengulas mengenai sambutan Hari Malaysia esok, Najib menyeru rakyat agar menghargai tarikh bersejarah penubuhan Malaysia itu kerana perbezaan pelbagai kaum di negara ini tidak menghalang rakyat untuk hidup harmoni, malah ia menjadi keunikan yang terserlah.

"Mengimbas kembali, terbuktilah keputusan pemimpin-pemimpin tempatan dan saudara-saudari dari Sabah dan Sarawak untuk menyertai Malaysia 52 tahun lalu merupakan langkah tepat, yang menepati impian semua," katanya.

Beliau berkata 'perkahwinan dan penyatuan rakyat di bawah payung Jalur Gemilang bukanlah mudah perjalanannya dan ia menghadapi pelbagai cabaran dan halangan termasuk dari luar negara.

"Selama ini, kita sehati sejiwa dan berasa bangga dengan identiti kaum masing-masing dan bangsa kita iaitu bangsa Malaysia. Namun kesemua ini tidak harus mengaibkan penilaian dan pandangan kita daripada hakikat yang sebenar," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts