NASA TEMUI BUKTI KEWUJUDAN ALIRAN AIR DI PLANET MARIKH


WASHINGTON:  Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat, NASA pada Isnin mengesahkan penemuan aliran air di Planet Marikh.


Pengarah Sains Planet Nasa, Jim Green, berkata, penemuan itu sekaligus mengesahkan, bahawa Marikh bukan sebuah planet yang tandus.

"Marikh bukan sebuah planet yang kering seperti yang kita sangkakan sebelum ini.

"Dalam keadaan tertentu, air telah ditemui di Marikh," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Saintis di seluruh dunia sebelum ini percaya, air pernah mengalir serta menyebabkan berlakunya pembentukan lembah dan ngarai di planet merah itu.

Bagaimanapun, menurut Green, perubahan iklim yang berlaku kira-kira tiga bilion tahun lalu dipercayai menyebabkan berlaku perubahan itu ke atas muka bumi Marikh.

"Hari ini kita menyaksikan satu revolusi pemahaman mengenai planet itu.

"Rover Penjelajah Marikh mengesan banyak kelembapan di udara Marikh," ujarnya.

Menurutnya, rover yang menjelajah permukaan planet itu turut menemui tanah yang lebih lembap daripada yang dijangkakan.

Katanya, sejak empat tahun lalu, NASA memantau jalur-jalur gelap di lereng permukaan planet Marikh.

Bagaimanapun, selepas kajian dan analisis mendalam dilakukan, mereka boleh merumuskan, bahawa jalur-jalur itu adalah air. AFP

Comments

Popular Posts