NAJIB TIBA DI NEW YORK UNTUK HADIRI SESI PERHIMPUNAN AGUNG PBB


NEW YORK:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di sini pada Rabu (Khamis di Malaysia) dalam lawatan kerja untuk menghadiri sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketibaan Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, disambut antara lain oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Duta Malaysia di Amerika Syarikat Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Wakil Tetap Malaysia di PBB Datuk Ramlan Ibrahim.

Najib dijadual menghadiri beberapa mesyuarat peringkat tertinggi PBB sebelum berucap pada perhimpunan agung itu di ibu pejabat PBB di sini pada 1 Okt.

Malaysia pada masa ini melaksanakan peranan penting dalam badan dunia itu selaku anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Najib juga akan menyertai pemimpin dunia lain dalam Sidang Kemuncak Pasukan Pengaman PBB yang dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama pada 28 Sept.

Mesyuarat itu dijangka menegaskan semula komitmen dan sokongan politik nagara anggota kepada pasukan pengaman PBB.

Di luar sidang kemuncak itu, Najib dijangka mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin dunia di sini.

Beliau juga dijangka mempengerusikan mesyuarat kelima Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di sini. - BERNAMA

Comments

Popular Posts