PAS SAHKAN TAK SERTAI PAKATAN HARAPAN


KOTA BHARU:  PAS mengekalkan keputusan parti itu untuk tidak menyertai Pakatan Harapan yang ditubuhkan semalam, tegas Setiausaha Agungnya Datuk Takiyudin Hassan.

Anggota Parlimen Kota Bharu itu berkata, perkara tersebut diputuskan hasil Mesyuarat Dewan Harian yang diadakan pada lewat petang Isnin di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan di sini.

"Bagaimanapun kita ambil ketetapan untuk tidak buat komen yang panjang buat masa ini kerana pakatan itu pun baharu sahaja dilancarkan, baharu ditubuhkan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat berkenaan.

Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dalam proses didaftarkan, pada Isnin sepakat menubuhkan sebuah pakatan baharu yang dinamakan Pakatan Harapan, tanpa penyertaan PAS.

Bagaimanapun, Takiyudin berkata PAS masih lagi mengekalkan kerjasama politiknya dengan PKR kerana perkara itu diputuskan pada muktamar tahunan parti itu Jun lepas.

"Usul Dewan Ulama dalam muktamar adalah jelas (iaitu) mengekalkan kerjasama politik dengan PKR... kita mengesahkan hubungan dengan DAP terputus (pada muktamar itu)," katanya.

Ditanya mengenai hubungan beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang dilantik sebagai Anggota Exco Negeri Selangor dengan DAP dalam kerajaan negeri itu, beliau berkata hubungan itu semata-mata sebagai anggota kerajaan sahaja.

"Jadi kita bekerjasama dalam isu-isu melibatkan kepentingan rakyat dan negeri," katanya.

Mengulas mengenai Amanah yang mendakwa akan bertanding di semua kerusi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, beliau berkata PAS tetap akan mempertahankan kerusi yang ditandingi mereka sebelum ini walaupun ia akan menyebabkan undi pecah.

"The more the merrier (lebih ramai, lebih ceria)... kalau dia (Amanah) nak bertanding, bertandinglah.. tapi kalau kita nak serahkan kerusi kita kepada dia, itu tidak sama sekali.. kalau nak bertanding dipersilakan," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts