DOKUMENTARI "A FRACTURED NATION" BERAT SEBELAH: SALLEH


KOTA BELUD:  Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan laporan dokumentari yang disiarkan saluran televisyen Channel NewsAsia (CNA) semalam sebagai berat sebelah memandangkan ia menggambarkan imej buruk Malaysia berdasarkan temubual hanya dengan sumber pembangkang.

Beliau berkata laporan bertajuk 'A Fractured Nation' itu tidak mencerminkan situasi sebenar di dalam negara, dan stesen televisyen berpusat di Singapura itu seharusnya menyiarkan laporan seimbang dengan turut menemubual anggota dalam parti pemerintah.

"Laporan ini jelas berat sebelah sebab hanya mengetengahkan perkara negatif tentang Malaysia, CNA hanya menemubual anggota pembangkang.

"Laporan Channel NewsAsia pada Hari Malaysia adalah berat sebelah, tidak adil dan amat dikesali, serta perlu diperbetulkan.

Salleh berkata demikian dalam kenyataannya kepada Bernama selepas menghadiri majlis pengagihan daging korban bersempena Hari Raya Aidiladha di Batu 7, Kesapang, dekat sini hari ini.

"CNA seharusnya mengambil kira pandangan semua pihak memandangkan laporan itu nampaknya menggambarkan bahawa negara kita sedang berdepan banyak masalah sedangkan ia tidak benar sama sekali. Laporan ini jelas menunjukkan bahawa mereka mempunyai pandangan atau niat untuk memudaratkan negara kita," katanya.

Dalam laporan itu, CNA menyatakan bahawa Hari Malaysia sepatutnya menjadi sambutan untuk memperkukuhkan perpaduan semua rakyat Malaysia, bagaimanapun terdapat pihak tertentu yang didakwa mengambil kesempatan untuk menyemai perselisihan dan perpecahan menerusi demonstrasi berbaur perkauman.

Ketika menyangkal laporan itu, Salleh berkata media asing berazam untuk mencemarkan nama baik Malaysia dengan menyiarkan laporan bersandarkan kepada sumber meragukan.

Beliau berpendapat laporan negatif itu dimulakan bukan sahaja oleh orang luar tetapi juga oleh kumpulan tertentu di dalam negara ini.

Salleh berkata majoriti rakyat dan pemimpin negara ini menyatakan sokongan padu mereka kepada perdana menteri, dan menyatakan bahawa "perbuatan seperti itu hanya sia-sia belaka".

"Isu yang mereka bangkitkan tentang 1MDB dan sumbangan politik RM2.6 bilion sudah dijawab. Perdana Menteri telah menyatakan bahawa akaun 1MDB mesti diaudit dan laporan dihantar kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Jadi, biarlah PAC menjalankan siasatan.

"Kerajaan turut mempunyai perancangan berhubung program pemulihan 1MDB dan kami percaya dalam tempoh enam bulan, masalah ini akan dapat diselesaikan," katanya.

Mengenai US$700 juta (RM2.6 bilion) yang disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib, Salleh berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telahpun memperjelaskan bahawa ia disumbangkan sebagai sumbangan politik.

Beliau berkata setakat ini, belum ada undang-undang di negara ini yang "menghalang sesiapapun daripada menerima wang bagi tujuan politik."

Dalam kenyataan baru-baru ini, SPRM dipetik sebagai berkata suruhanjaya itu tahu tentang identiti penyumbang yang memasukkan RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib. - BERNAMA

Comments

Popular Posts