NAJIB TERIMA ANUGERAH ICT DI IBU PEJABAT PBB


NEW YORK:  Perjalanan hidup seorang wanita muda di utara Malaysia tidak lagi indah selepas beliau terlibat dalam kemalangan jalan raya yang meragut keupayaannya untuk berjalan.

Namun segala-galanya berubah selepas beliau diberi sebuah komputer, boleh berhubung secara dalam talian, seterusnya mewujudkan sebuah laman web serta mengendalikan blog.

"Hari ini, beliau menjalankan perniagaan dalam talian yang berkembang maju dan memperbaiki kehidupan dengan memanfaatkan peluang tanpa batasan yang ditawarkan menerusi Internet," kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berucap pada majlis jamuan malam gala selepas menerima 'Anugerah ICT Dalam Pembangunan Lestari' bersempena sambutan ulang tahun ke-150 Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa, yang diadakan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata pendapatan wanita itu meningkat berlipat ganda menerusi perniagaan dalam talian yang dijalankannya, dan beliau mengalami perbezaan menakjubkan yang dibawa ICT dalam hidupnya.

"Inilah sebenarnya manifestasi paling bermakna yang dibawa ICT sebagai daya pengubah kehidupan," kata Najib.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wahid Omar, Duta Malaysia di Amerika Syarikat Datuk Dr Awang Adek Hussin, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Wakil Tetap Malaysia di PBB Datuk Ramlan Ibrahim.

Najib berkata untuk Malaysia menjadi sebuah negara ekonomi maju dan inklusif, kerajaan memberi penekanan ke arah mempertingkatkan pewujudan masyarakat celik IT yang berpengetahuan dan berkemahiran, dengan disokong oleh industri ICT yang mantap, teguh dan lestari.

Beliau berkata usaha akan diperkukuhkan untuk memacu ICT dalam ekonomi pengetahuan menerusi empat strategi utama -- mencergaskan semula industri ICT, memastikan bekalan modal insan ICT berkualiti tinggi yang mencukupi dan berterusan, menambah baik prasarana ICT dan meneruskan penyertaan digital.

Najib berkata ini akan meningkatkan produktiviti menerusi inovasi dan menambah daya saing yang membawa kepada pewujudan kekayaan yang lebih besar.

"Kami percaya negara kami akan berkembang maju menerusi inovasi dan ICT untuk mewujudkan sebuah negara pintar digital," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts