PINDAH KEMENTERIAN JIKA TERLIBAT RASUAH: HISHAMUDDIN

Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani | Published 

KUALA LUMPUR: Warga Kementerian Pertahanan yang didapati bersalah melakukan rasuah akan diarah tukar kementerian.

Perkara itu ditegaskan Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mahu integriti tertinggi diamalkan seluruh warga kementeriannya.

"Cuma panglima-panglima, pegawai-pegawai kanan, Ketua Setiausaha, Timbalan Ketua Setiausaha ini semua kalau melakukan rasuah, boleh pindah ke kementerian lain.

"Saya hendak nyatakan di sini kerana ia merupakan satu penghormatan tuan-tuan dan puan-puan untuk memimpin, berada di kementerian ini," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Bacaan Ikrar Bebas Rasuah dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) serta Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang (PPT) Sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan di Dewan Perkasa Wisma Perwira, di sini hari ini. 

Malah, beliau juga mahu laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat bukti penglibatan beliau dalam rasuah di kementerian tersebut.

"Saya sendiri, kalau sekiranya ada perkara-perkara yang saya buat oleh pegawai-pegawai saya, kalau ada bukti-bukti berhubung kait dengan saya sendiri, laporkan kepada SPRM.

"Saya sendiri sanggup berdepan apa sahaja kalau ada bukti untuk diri saya sendiri kerana kedudukan saya ini bukan kerana Datuk Seri Hishammuddin, tetapi sebagai Menteri Pertahanan untuk menjaga pertahanan dan keselamatan negara kita," katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dan pegawai kanan SPRM.

Mengetuai bacaan ikrar bebas rasuah Ketua Setiausaha, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi

Comments