TOLAK EKSTREMIS AGAMA DEMI KEAMANAN NEGARA : TPM ZAHID

Raja Hisyam Raja Zaid, Astro Awani | Published 

KUALA LUMPUR: Demi mewujudkan keamanan yang berterusan dalam masyarakat, negara perlu memastikan tidak ada golongan ekstremis di kalangan mana-mana penganut agama.

Demikian tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan apa yang dikecapi hari ini mampu dikekalkan.

"Kita tidak mahu golongan ekstremis, sama ada ekstremis Islam atau ekstremis Hindu atau ekstremis Buddha atau ekstremis Kristian, atau ekstremis-ekstremis yang lain, kerana kita mahu mewujudkan keamanan di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya hari ini ketika merasmikan rumah terbuka Ugadi bagi masyarakat Telugu di Dataran Merdeka.

Beliau juga berharap agar masyarakat Malaysia mengenepikan perbezaan bangsa dan agama kerana kerajaan sentiasa memberi peluang kepada semua kaum untuk meraikan kebudayaan dan agama masing-masing.

Comments