PERBINCAANGAN HALA TUJU TPP MEI INI : MUSTAPA

April 17, 2017 18:41 MYT

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata perbincangan lebih mendalam tentang hala tuju Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dijadualkan berlangsung di Vietnam semasa Mesyuarat Menteri-menteri Perdagangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada Mei ini.

Mustapa berkata, pada masa ini kebanyakan negara anggota termasuk Malaysia yang menyertainya dengan tujuan utama untuk mendapatkan akses pasaran lebih baik, terutamanya ke Amerika Syarikat (AS) masih belum membuat keputusan tentang hala tuju TPP.

"Perbincangan di peringkat pegawai masih diteruskan," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan persidangan Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri Khairudin Samad yang ingin tahu hala tuju negara dalam sektor perdagangan antarabangsa selepas AS mengambil keputusan menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negara bermula hari ini dan akan berakhir pada 27 April ini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, perbincangan dua hala mengenai TPPA juga diadakan dari semasa ke semasa.

"Saya telah berjumpa dengan Menteri Perdagangan Jepun, Hiroshige Seko pada 11 April lalu semasa lawatan ke Jepun. Saya juga akan berjumpa dengan Menteri Perdagangan New Zealand Todd McClay pada 18 April," katanya.

Beliau berkata sebagai langkah seterusnya, kerajaan meletakkan keutamaan kepada beberapa agenda perdagangan antarabangsa, iaitu, memastikan kejayaan pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), khususnya bagi menangani isu berkaitan halangan bukan tarif dan keseragaman standard.

Kerajaan juga, katanya, memberi fokus untuk memuktamadkan rundingan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang membabitkan 16 negara termasuk negara anggota ASEAN, China, Korea Selatan, Jepun, India, Australia,dan New Zealand menjelang akhir tahun ini.

"Selain itu, ia akan terus menggalakkan hubungan pelaburan dan perdagangan yang lebih erat dengan negara-negara lain dari benua Asia, Amerika dan Eropah," katanya.

TPPA dibentangkan di Dewan Negara pada 28 Jan tahun lalu setelah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 hingga 27 Jan.

Susulan itu, Malaysia bersama 11 negara anggota lain telah menandatangani TPPA pada 4 Feb setelah mengadakan rundingan selama lima tahun.

Bagaimanapun, AS, di bawah pentadbiran baharu Presiden Donald Trump, telah menarik diri daripada perjanjian itu pada 20 Jan tahun ini, menyebabkan ia tidak boleh dilaksanakan kerana Artikel 30.5 TPPA menetapkan bahawa ia hanya boleh dikuatkuasakan apabila ratifikasi dilaksanakan sekurang-kurangnya enam negara yang mewakili 85 peratus jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara-negara TPP.

Amerika Syarikat sahaja menyumbang 60 peratus daripada jumlah keseluruhan KDNK negara-negara anggota TPP.

-- BERNAMA

Comments

Popular Posts