KPPK TOLAK CADANGAN BAWA PERANTI KE SEKOLAH

Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani | Published 


KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) hari ini menolak cadangan Kementerian Pendidikan membenarkan pelajar membawa gajet dan peranti elektronik ke sekolah.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock berkata pihaknya melihat impak negatif cadangan itu lebih banyak daripada positif.

"Kita risaukan adalah kes kecurian, kerosakan serta masalah lain yang tiada kaitan dengan pendidikan. Itu yang paling kita risaukan.

"Jangan nanti apabila perkara ini diwujudkan dan dibenarkan, ada masalah lain pula akan timbul.

"Kelak, cikgu pula dipertanggungjawabkan apabila berlaku kecurian dan kita tiada hak untuk menyoal siasat, siasat beg pelajar, itu masalah yang akan timbul," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Malah, katanya banyak sekolah di negara ini telah dilengkapi dengan kemudahan komputer serta jaringan internet sekaligus membantu pelajar meningkatkan pemahaman mereka.

"Kita ada komputer, komputer riba, ada chrome book untuk kegunaan pelajar-pelajar kita termasuk Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (Frog VLE) dan juga apa-apa inisiatif yang dibuat Kementerian Pendidikan.

"Pelbagai sudah ada untuk tingkatkan penggunaan dan juga pemahaman mereka (pelajar) terhadap maklumat-maklumat yang hendak didapatkan daripada internet ataupun daripada laman-laman pendidikan yang mahu digunakanlah," katanya.

Justeru, pihaknya sedia berbincang dengan kementerian serta pihak berkepentingan bagi memperhalusi cadangan terbabit sekaligus mengelak impak negatif terhadap pelajar.

Terdahulu hari ini, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementeriannya bercadang mewujudkan polisi bagi membenarkan pelajar membawa gajet dan peranti elektronik ke sekolahbagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, cadangan itu dikemukakan seiring pembangunan teknologi semasa, bagaimanapun, kajian cadangan itu akan siap dalam tempoh dua bulan sebelum kementeriannya membuat sebarang keputusan.  

Comments

Popular Posts