ISTANA NEGARA SIAP SEDIA UNTUK PERTABALAN YANG DI-PERTUAN AGONG KE-15

KUALA LUMPUR: Esok, 24 April 2017, rakyat Malaysia akan sekali lagi menyaksikan acara bersejarah pertabalan Ketua Utama Negara apabila Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, bakal menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.


Ini merupakan kali kedua istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim dan menjelang upacara penting itu, persiapan di venue utama itu yang diatur begitu teliti dan penuh istiadat kebesaran di raja sejak enam bulan lepas telah memasuki fasa akhir.

Walaupun tiada sebarang perubahan besar, namun Istana Negara telah dihias indah dengan landskap dan lampu-lampu berwarna-warni yang memberi nilai tambah dan membangkitkan seri lokasi itu yang menjadi mercu tanda bagi sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia.

Sempena istiadat itu juga, poster-poster dan kain rentang yang memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong turut dipasang di lokasi-lokasi strategik sekitar ibu kota menuju ke Istana Negara bagi menguar-uarkan kepada seluruh dunia mengenai pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang baharu yang akan menjadi ketua negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Acara pertabalan itu akan menandakan secara rasminya Sultan Muhammad V memegang tampuk pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 yang akan diadakan dengan penuh adat istiadat dan tradisi beraja di negara ini.

Menurut Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela, Bahagian Istiadat, Istana Negara, Azuan Effendy Zairakithnaini tarikh pertabalan itu yang juga jatuh pada tarikh kebesaran Islam iaitu Israq dan Mikraj, dipilih sendiri oleh Seri Paduka setelah mendapat nasihat daripada ulama-ulama dan para mufti.

Acara pertabalan itu yang mungkin hanya disaksikan dalam tempoh lima tahun dijangka bermula pada 9.30 pagi esok dan disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sultan Muhammad V sebelum ini telah mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan pada 13 Dis 2016 yang telah mengukuhkan dan memberi legitimasi kepada kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

Pertabalan Sultan Muhammad V itu merupakan kali kedua Sultan Kelantan ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas nenda Seri Paduka, Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-6 dan memerintah dari 21 Sep 1975 hingga 29 Mac 1979.

Sultan Muhammad V yang diputerakan sebagai Tengku Muhammad Faris Petra pada 6 Okt 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan merupakan putera sulung Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Baginda menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 Sept 2010.

Menurut Azuan, istiadat pertabalan itu memberi tumpuan bagi mengekalkan elemen-elemen teras adat istiadat yang telah diamalkan sejak pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad sehingga Yang di-Pertuan Agong ke-15 ini.

Acara esok akan dimulakan sebaik keberangkatan tiba Sultan Muhammad V di Peterana Diraja bagi mengambil Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja sebagai lambang taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi ATM.

Antara elemen penting dalam istiadat berkenaan ialah berangkat masuk Seri Paduka ke dalam Balairong Seri dengan diiringi alunan muzik ''Raja Berangkat'' daripada Pasukan Gendang Besar Diraja Kelantan, panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama serta pembawa alat-alat kebesaran Diraja, yang merupakan elemen penting yang mencerminkan kedudukan mulia Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

Sepanjang istiadat pertabalan itu juga, Datuk Paduka Maharajalela akan menyembahkan naskah Al-Quran kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai simbolik peranan Seri Paduka sebagai ketua agama Islam bagi Persekutuan dan negeri-negeri tidak beraja.

Juga penting pada acara itu ialah penyerahan Keris Panjang Diraja atau juga dikenali sebagai Keris Kerajaan sebagai lambang kesediaan seseorang raja untuk memikul amanah sebagai ketua negara yang bergelar Yang di-Pertuan Agong.

Klimaks pada acara pertabalan itu nanti ialah apabila Seri Paduka melafazkan titah ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong dan seruan ''Daulat Tuanku'' tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela diikuti oleh para hadirin dalam Balairung Seri.

Serentak itu lagu Negaraku akan dimainkan berserta tembakan meriam 21 das dimulakan sebagai simbolik pengumuman kepada rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong yang baharu telah ditabalkan.

Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim yang tamat tempoh pemerintahan pada 12 Disember tahun lepas.

-- BERNAMA

Comments

Popular Posts