DAKWAH MELALUI INTERNET PERLU DIPERLUASKAN: AHMAD ZAHID

PUTRAJAYA:  Usaha dakwah melalui internet perlu diperluaskan seiring dengan penggunaan media tradisional, ujar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ia berikutan penyampaian dakwah melalui medium itu merentasi sempadan dan mampu mensasarkan segenap lapisan bangsa.

"Melalui penggunaan media baharu, pelbagai keperluan semasa umat Islam dapat dicurahkan mengikut citarasa semasa yang sesuai dengan ajaran Islam," katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri Mesyuarat Induk Majlis Perundingan Islam (MPI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Tambahnya, penggunaan media baharu dalam Islam seharusnya lebih menekankan konsep ketaqwaan dan menjadikan Islam sebagai acuan kehidupan.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ledakan media baharu dikenalpasti antara punca berlakunya pelbagai krisis dalam masyarakat.

"Peredaran maklumat dari pelbagai saluran media massa yang tidak berautoriti menyebabkan sesetengah isu semasa mudah diputarbelitkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi membentuk persepsi negatif terhadap pelbagai pihak," kata beliau.

Beliau berkata, sebahagian isu-isu yang bersifat terpencil sering diperbesarkan untuk memburukkan imej Islam dan melakukan pembunuhan karakter terhadap institusi agama, ketua-ketua jabatan agama, mufti serta ilmuan Islam.

"Inilah sikap sesetengah masyarakat kita yang perlu dihakis dan dihindari dengan penuh hikmah oleh pendakwah kepada semua lapisan masyarakat sama ada melalui media massa, elektronik dan media sosial," katanya lagi.

Dalam pada itu beliau mahu pemantauan secara berterusan terhadap aktiviti yang boleh membawa kepada penyebaran fahaman Syiah di Malaysia terus dipertingkatkan bagi mengekang penularan fahaman itu.

"Pengaruh DAISH dengan ideologi radikal mereka juga dilihat semakin menular dan menjadi ancaman besar terhadap keselamatan negara," ujar beliau.

Kerajaan juga mengambil serius pengaruh DAISH dan segala usaha berterusan secara bersepadu antara semua agensi keselamatan negara dipertingkatkan bagi memastikan gerakan militan tidak bertapak di negara ini.

"Fahaman Syiah juga dilihat antara ancaman kepada akidah umat Islam. Pertembungan dua kumpulan terbesar iaitu Sunni dan Syi'i turut menyumbang kepada konflik umat Islam di luar negara khususnya di Timur Tengah," tambahnya.-ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts