NAJIB UCAP SELAMAT TAHUN BARU CINA, SEMOGA SENTIASA MAKMUR SEJAHTERA
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina dan semoga sentiasa makmur dan sejahtera kepada masyarakat Tionghoa di negara ini.
Perdana Menteri berkata Malaysia menjadi tempat tinggal masyarakat majmuk yang mempunyai pelbagai kebudayaan, terdiri daripada pelbagai etnik dan latar belakang, dan semuanya telah memainkan peranan penting dalam pembinaan negara bangsa.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada semua masyarakat Cina Malaysia Selamat Tahun Baharu dan semoga sentiasa makmur dan sejantera.
"Tidak dapat dinafikan sumbangan besar kaum Cina terhadap kebudayaan, masyarakat dan ekonomi Malaysia.
Hasil daripada kerja keras dan pengorbanan mereka dapat dilihat di setiap bahagian negara kita," katanya dalam catatan terbaru dalam blog NajibRazak.com.
Tahun Baharu Cina akan disambut pada 8 dan 9 Februari ini.
Najib mengambil perhatian masyarakat Cina melakukannya secara berganding bahu dengan semua warganegara dan termasuk kaum-kaum lain yang menyifatkan Malaysia sebagai tanah air mereka.
Beliau berkata budaya persahabatan, keakraban dan kewujudan bersama secara harmoni sentiasa menjadi cara hidup di negara ini, kerana ini juga melambangkan semangat sebenar 1Malaysia.
"Jika kita mengamalkan nilai-nilai murni yang terangkum dalam semua ini -- budaya kecemerlangan, tabah dan tekun, rendah diri, saling menerima, kesetiaan, pendidikan dan integriti – saya percaya masa depan kita, dan masa depan generasi akan datang, adalah terjamin.
"Sebagai Perdana Menteri, saya amat komited terhadap semua nilai ini, dan berazam untuk memastikan masa depan anak-anak kita dan anak-anak kepada anak-anak kita adalah jauh lebih baik daripada kita," katanya.
Najib berharap ketika rakyat Malaysia mula meraikan sambutan Tahun Baharu Cina, mereka akan mengambil masa sejenak untuk menghargai sumbangan kalangan mereka yang dahulu, dan berusaha untuk meninggalkan jasa masing-masing kepada masyarakat.
"Dalam menanti menjelangnya hari gembira itu, saya sendiri tidak sabar untuk menyertai rakan dan masyarakat Cina Malaysia pada majlis rumah-rumah terbuka mereka.
"Ia merupakan satu daripada saat yang secara peribadi amat dekat di hati saya, tradisi Malaysia.
"Saya doakan Tahun Monyet ini akan membawa kebahagiaan, kegembiraan dan kesihatan baik untuk kita semua. Xin Nian Kuai Le!," kata Perdana Menteri. -BERNAMA
Comments
Post a Comment