Followers

KENYATAAN FINANCEASIA DIBIDAS, EKONOMI BERKEMBANG DI BAWAH PIMPINAN NAJIB

KUALA LUMPUR:  Malaysia mencatat perkembangan ekonomi, termasuk peningkatan kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK) daripada RM528 billion kepada RM877 bilion dari tahun 2009-2015, hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Malah, menerusi pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan, ekonomi negara berkembang daripada 1.9 peratus pada tahun 2009 kepada 6.0 peratus tahun 2014 dalam persekitaran ekonomi dunia yang lembap serta beberapa cabaran lain, kata kenyataan Kementerian Kewangan (MoF), hari ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai membidas artikel oleh FinanceAsia bertajuk "Najib Razak: Asia's Worst Finance Minister 2016" (Menteri Kewangan Asia Paling Teruk 2016).

Sambil menyangkal tuduhan dilemparkan portal itu, MoF berkata adalah tidak beretika bagi media itu membuat penilaian berdasarkan perkembangan dalam tempoh 12 bulan dan bersandarkan beberapa pertuduhan tidak berasas serta berat sebelah.

MoF sebaliknya menegaskan, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, ekonomi Malaysia terus mencatatkan perkembangan sebanyak 4.5 hingga 5.5 peratus pada tahun 2015.

Malah, kadar pengangguran telah turun daripada 4.5 peratus kepada 3.0 peratus dengan sejumlah 1.8 juta pekerjaan baharu berjaya diwujudkan.

Pendapatan per kapita pula meningkat daripada RM24,541 kepada RM33,572, manakala defisit fiskal berkurangan daripada 6.7 peratus kepada 3.2 peratus.

"Walaupun keadaan ekonomi dunia tidak menentu, Malaysia masih optimistik dengan sasaran pertumbuhan KDNK pada kadar 4.5 peratus bagi tahun ini.

"Jadi, jika Malaysia mampu mencatatkan pertumbuhan pada kadar 4.5 peratus dalam keadaan ekonomi yang lembap ini, boleh dikatakan ekonomi Malaysia masih kukuh jika dibandingkan dengan beberapa negara Asia yang lain," jelas
kementerian itu.

MoF turut mempersoalkan tujuan artikel tersebut yang menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang teruk dan menggunakan tajuk sedemikian bagi meningkatkan semula laman web media itu.

Ini disebabkan, pada tahun lepas dalam artikel sama, portal Financeasia berkenaan meletakkan Najib di tempat kelapan daripada 12 Menteri Kewangan Asia dalam 'Finance Minister of the Year' berbanding tempat ke-12 tahun ini.

"Asia mempunyai 48 negara, jadi bagaimana berada di tempat ke-12 boleh menjadikan Najib sebagai Menteri Kewangan paling teruk di Asia?," kata MoF.

Kementerian itu turut menyuarakan kebimbangan mengenai tindak tanduk beberapa pihak yang iri hati dengan kemajuan Malaysia di bawah pentadbiran

Perdana Menteri, menjadikan negara ini sebagai sasaran kritikan melulu.

"Seolah-olah mereka sentiasa mahu menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak stabil dari segi politik dan ekonomi."- BERNAMA

No comments:

Post a Comment