Followers

KHAIRY MENANG DALAM RAYUAN PINDA PERNYATAAN PEMBELAAN KES SAMAN FITNAH

PUTRAJAYA:  Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada Khamis menang dalam rayuannya untuk meminda pernyataan pembelaannya terhadap kes saman fitnah bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya untuk memasukkan sabitan kes liwat kedua Anwar.

Tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Seri Zakaria Sam membenarkan rayuan Khairy untuk mengakaskan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya.

Hakim Zakaria berkata selepas mendengar hujahan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam bela Khairy dan peguam bela Anwar, J. Leela, mahkamah cenderung untuk bersetuju dengan hujahan Muhammad Shafee.

Panel hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Zamani A. Rahim memerintahkan Anwar membayar kos RM15,000 kepada Khairy untuk prosiding mahkamah di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Hakim Zakaria memerintahkan Khairy untuk memfailkan pindaan pernyataan pembelaanya dalam tempoh 14 hari.

Beliau juga membenarkan permohonan Muhammad Shafee supaya perbicaraan bagi saman fitnah didengar hakim Mahkamah Tinggi yang lain.

Bagaimanapun, Hakim Zakaria, tidak membenarkan permohonan lisan yang dibuat Leela untuk menangguhkan perbicaraan bagi perkara itu yang dijadual bermula 7 Mac sementara menunggu permohonan bagi memfailkan permohonan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan namun memaklumkan Leela untuk membuat permohonan itu di Mahkamah Tinggi.

Perkara itu dijadual untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi minggu depan.

Muhammad Shafee memberitahu mahkamah beliau tidak membantah permohonan Leela supaya perbicaraan ditangguhkan, dibuat di Mahkamah Tinggi.

Khairy dibenarkan meminda pernyataan pembelaannya untuk memasukkan penghakiman Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan berhubung sabitan kes Anwar meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau juga memohon meminda pembelaannya untuk memasukkan maksud fitnah yang lebih kecil dalam kenyataan yang didakwa diucapkan Khairy terhadap Anwar.

Pada 7 Mac, 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy bagi memohon ganti rugi RM100 juta dengan mendakwa Khairy, yang ketika itu Naib Ketua Pemuda UMNO, mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dalam satu ceramah di Lembah Pantai pada 20 Feb, 2008.

Khairy, dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 8 Okt, 2010, berkata beliau bergantung kepada pembelaan berdasarkan justifikasi dan perlindungan bersyarat.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment