Followers

TPM LANCAR DASAR KESELAMATAN DALAM NEGERI (DKDN)

PUTRAJAYA:  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan Dasar Keselamatan Dalam Negeri (DKDN) yang merupakan satu dasar komprehensif aspek keselamatan dalam negeri, ketenteraman awam serta ancaman keganasan global.

Beliau, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata matlamat kerajaan memperkenalkan DKDN adalah untuk mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka, berdaulat, aman dan berupaya mempertahankan kepentingan nasional.

"Objektif DKDN adalah untuk menjamin kewujudan Malaysia sebagai sebuah negara melalui kesepaduan dan ketahanan nasional berteraskan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

"DKDN juga berteraskan amalan-amalan demokrasi ke arah kesatuan nasional, kedaulatan negara, integrasi wilayah, ketenteraman awam dan kestabilan politik," katanya ketika melancarkan buku DKDN pada majlis Amanat Tahun 2016 Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Ahmad Zahid menjelaskan pelaksana DKDN adalah semua agensi penguat kuasa yang menjaga keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam termasuk KDN, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan DKDN, dua jawatankuasa diwujudkan iaitu mesyuarat jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan beliau sendiri dengan anggotanya terdiri daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan menteri yang berkaitan, katanya.

Mesyuarat jawatan kerja pula dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan ahli-ahli tetap yang terdiri daripada agensi, jabatan KDN, Jabatan Peguam Negara, MKN dan ATM, kata Ahmad Zahid.

"Mesyuarat ini membincang dan menyelaraskan pelaksanaan tindakan berpandukan terma rujukan yang ada," katanya.

DKDN mempunyai lapan teras strategik dan 34 objektif. Antara lapan teras berkenaan ialah perlindungan dan pengukuhan terhadap insititusi-institusi utama negara, pemeliharaan keselamatan sempadan negara, perlindungan kesepaduan sosial dan ketahanan nasional serta pembanterasan ancaman yang mendatangkan kemudaratan dan menggugat ketenteraman awam.

Sementara itu, dalam amanatnya hari ini, Ahmad Zahid berkata antara kejayaan paling membanggakan KDN ialah kejayaan Polis Diraja Malaysia terutamanya dalam membanteras keganasan.

Menyentuh mengenai persidangan deradikalisasi yang berlangsung di Kuala Lumpur bulan lepas, Ahmad Zahid berkata Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang menganjurkan program berkenaan.

"Ini merupakan sumbangan Malaysia kepada dunia melalui perkongsian pengalaman di peringkat antarabangsa," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment