TAHUN BARU CINA: JOJ PANTAU 29 TERMINAL BAS SELURUH NEGARA

KUALA LUMPUR:  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuat pemeriksaan serta pemantauan di 29 buah terminal bas utama di seluruh negara sempena sambutan Tahun Baru Cina, Isnin ini.

Pengarah Penguat Kuasa JPJ Datuk V. Valluvan Veloo berkata pemeriksaan itu dilakukan bagi mengelak kejadian tidak diingini ketika orang ramai pulang ke kampung halaman menggunakan bas.

"Pemeriksaan adalah untuk memastikan pemandu mengikut kriteria yang telah ditetapkan selain memastikan bas berada dalam keadaan baik," katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena Op Tahun Baru Cina di sini, hari ini.

Beliau berkata orang ramai boleh membantu JPJ mengesan salah laku yang dilakukan oleh pemandu bas yang tidak bertanggungjawab sepanjang perjalanan ke destinasi yang dituju.

"Orang ramai diminta menghantar gambar salah laku kepada JPJ dan kita akan ambil tindakan lanjut," katanya.

Dalam perkembangan lain, Valluvan Veloo berkata seramai 4,500 orang pegawai penguat kuasa bersama 500 orang anggota Skuad Muda 1JPJ akan melakukan rondaan di lebuh raya dan jalan utama di seluruh negara.

"Mengikut statistik dalam operasi yang dijalankan bermula 1 Februari lepas, sebanyak 1,220 daripada 6,000 kenderaan yang diperiksa telah dikenakan tindakan.

"Antara kesalahan tertinggi yang dilakukan adalah tidak memiliki lesen atau cukai jalan tamat tempoh," katanya.

JPJ juga akan melaksanakan Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan pada 6, 7, 13 dan 14 Februari, katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts